'Kuku Dan Isi Jari Anak Terpaksa Dipotong Gara-Gara Mainan Ini'
SABAH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 2-3 tahun cedera parah di
bahagian jari telunjuk tangan kanan akibat tersangkut dan terkepit dalam
mainan. Menurut ibunya yang dikenali sebagai Chell berkata, kuku dan isi
jari anaknya, Danish, terpaksa dipotong kerana sudah tidak dapat
diselamatkan lagi.
Gambar kejadian yang berlaku pada mangsa dimuat naik jam 3 petang itu
tadi kini telah dikongsi 1,574 netizen di Facebook, mencetuskan rasa
bimbang ibu bapa.
"Ini anak saya. Peringatan untuk semua ibu bapa di luar sana. Mainan ini
telah membuat kuku dan isi jari anak saya dipotong kerana sudah tidak
dapat diselamatkan lagi.
"Ya Allah, hanya dia yang mampu merasa sakit dan kekesalan di hati
melihat anak menangis tak berhenti-henti disebabkan kecuaian diri
sendiri.
"Tengok benda ini seperti tidak membahayakan, tetapi inilah yang berlaku
kepada anak lelaki saya.
"Dia masukkan jari ke dalam lubang kecil itu. Kemudian tersekat dan dia
cuba keluarkan jarinya secara paksaan sehingga terkoyak hujung jari serta
hampir terputus sebab tekanan semakin kuat apabila tangan monyet itu
ditekan.
"Hati-hati buat anak-anak kecil di luar sana. Takut anak-anak berebut
mainan, perkara seperti ini pula yang akan berlaku. Kulit anak kecil ini
lembut dan memang sangat mudah hancur pada benda yang kita anggap tidak
berbahaya tetapi sebenarnya berbahaya kepada mereka," katanya.
Justeru, Chell berharap semua ibu bapa berhati-hati dan pastikan mainan
anak-anak mereka selamat dan tidak memudaratkan.
"Jangan jadi seperti kes saya ini yang menyesal kemudian tiada gunanya.
Hari-hari kena datang hospital untuk cuci luka Danish," katanya.