"Saja Nak Berkenalan..", Wanita Memohon Rentas Negeri Dekat Balai, Tiba-tiba Dapat Whatsapp Dari Abang Polis Ingin Berkenalan
SEORANG wanita membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya dihubungi
anggota polis melalui aplikasi WhatsApp seperti yang tular di media sosial,
hari ini.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah berkata,
pihaknya mengesan satu hantaran yang tular di Twitter, hari ini, mengenai
seorang wanita yang mendakwa dirinya dihubungi oleh anggota polis melalui
aplikasi WhatsApp.
“Berdasarkan hantaran yang dimuat naik wanita berusia 26 tahun itu, dia
memaklumkan ke Balai Polis Setapak untuk memohon kebenaran merentas negeri
sebelum dihubungi seorang anggota polis.
“Kami dimaklumkan wanita berkenaan yang juga penganalisis pelaburan sudah
membuat laporan berhubung perkara itu di Balai Polis Gombak jam 7.30 malam
hari ini dan dia akan diambil keterangan oleh pegawai penyiasat dalam masa
terdekat.
“Pada masa sama, kami berjaya mengenal pasti anggota polis yang didakwa
menghubungi wanita berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ashari berkata, siasatan berkaitan isu tular itu sedang dijalankan oleh
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis
Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
“Pihak polis tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota
melakukan sebarang salah laku dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil
tindakan tegas terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh
menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian
03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau
mana-mana balai polis berhampiran,” katanya