'Saya bernikah dengannya kerana cinta & belas kasihan' - Lelaki 24 tahun nikah janda 67 tahun
MADIUN, INDONESIA - Seorang pemuda berusia 24 tahun menikahi seorang
wanita berusia 67 tahun di Desa Nampu, Kecamatan Gemarang, Kabupaten
Madiun, cetus perbualan hangat netizen di negara itu, lapor Madiun
Pos.
Rokim, 24, dan Tampi Tompo, 67, melangsungkan perkahwinan secara
sederhana di rumah pengantin perempuan di Desa Nampu pada Khamis 16 Mac
2017 lalu.
Ketika ditemui media tempatan, Rokim mengaku telah bernikah Tampi, yang sebelum itu berstatus janda.
"Saya bernikah dengannya kerana cinta dan rasa belas kasihan. Saya sudah
mengenali Tampi sejak saya masih berusia 16 tahun. Namun, rasa cinta itu
muncul baru setahun yang lalu.
"Saya kasihan melihat dia hidup sebatang kara. Untuk itu saya
menikahinya," katanya.
Meskipun jarak usianya jauh muda berbanding Tampi, namun dia mengaku dia
tidak malu mengahwini janda itu. Malah mengakui tidak pernah menjalinkan
hubungan cinta dengan perempuan lain.
Sementara itu, Tampi mengaku dia berasa amat bahagia setelah dilamar
Rokim. Hidupnya kini lebih tenang dan bahagia kerana ada lelaki yang mahu
bertanggungjawab terhadap hidupnya.
"Sebelum ini saya sudah pernah berkahwin dengan seorang lelaki berasal
dari Ponorogo, tetapi dia telah meninggal dunia beberapa belas tahun yang
lalu. "Saya tidak mempunyai anak dengannya kerana saya mandul,"
katanya.
Tampi juga berkata, berkemungkinan besar dia tidak akan memiliki zuriat
dengan Rokim.
Difahamkan, keluarga Rokim bersetuju dengan pilihan pemuda itu lalu
menghantar rombongan meminang Tampi yang seterusnya membawa kepada
perkahwinan pasangan berkenaan dengan mas kahwin Rp50.000 (RM16.64).
Manakala, hanya Rp10 juta (RM3,328) dibelanjakan untuk majlis perkahwinan
mereka.
Sebelum dipinang oleh keluarga Rokim, Tampi berterus terang bahawa dia
bukanlah janda yang kaya dan tidak memiliki banyak harta.
"Majlis dibuat secara sederhana dan tak mengundang ramai orang. Tetapi
pernikahan kami diketahui banyak orang dan banyak jiran yang datang. Duit
Rp10 juta itu adalah duit saya dan Rokim yang digunakan untuk menyediakan
makanan untuk dihantar pada tetamu dan jiran," katanya yang bekerja
sebagai tukang urut