Berang kena tinggalkan, lelaki ini bunuh bekas isterinya yang sarat mengandung menggunakan busur
Seorang wanita yang sarat mengandung maut setelah dibunuh oleh bekas
suaminya dengan menggunakan busur silang.
Bermotifkan dendam kerana ditinggalkan isterinya untuk lelaki lain,
Ramanodge Unmathallegado, 51, telah membuat perancangan selama setahun
sebelum akhirnya menembak dan membunuh bekas isterinya itu.
Doktor tidak dapat menyelamatkan nyawa Devi, 35, namun bayi dalam
kandungannya dapat diselamatkan menerusi pembedahan kecemasan.
Unmathallegado dilaporkan berang kerana Devi mahu melarikan diri
daripadanya, malah turut merancang membunuh pasangan baru Devi, Imtiaz
Muhammad.
Memetik laporan The Metro, Unmathallegado bersembunyi di dalam bangsal di
kediaman pasangan berkenaan pada pagi kejadian, dengan berbekalkan senjata
termasuk busur silang, anak panah, tukul, pisau dan gunting.
Mahkamah diberitahu, dia mengambil masa beberapa bulan mengumpul senjata
serta melakukan pemerhatian di kediaman pasangan itu sebelum melaksanakan
perancangannya pada November tahun lalu.
Bagaimanapun, kebetulan pada pagi itu Imtiaz masuk ke bangsal berkenaan
seterusnya mengganggu perancangan Unmathallegado.
Tertuduh mengejar Imtiaz ke dalam rumah dan melepaskan busarnya selepas
melihat bekas isterinya di situ. Wanita itu cedera parah ketika cuba
melarikan diri ke aras atas rumahnya sebelum Unmathallegado berjaya
dihalang dan senjatanya dirampas. Unmathallegado kini dibicarakan kerana
menafikan semua tuduhan terhadapnya.
Sumber: Metro UK