'Saya menyesal..' - Pelajar bunuh janda anak satu kerana kerap didesak mangsa untuk bertanggungjawab di atas kehamilannya
Seorang pelajar ditahan polis kerana disyaki membunuh seorang janda muda
berusia 20 tahun di Bojonegoro, Indonesia.
Mayat mangsa ditemui di longkang pada pagi Isnin, 25 November lalu, oleh
seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang ketika itu mahu melepaskan
hajatnya di longkang tersebut.
Terkejut menemui mayat mangsa, Fikri Firmansyah terus melaporkan penemuan
itu kepada pihak polis.
"Saya nak kencing, ternampak pula ada mayat, seram pula saya,"
katanya.
Ketika ditemui, mayat mangsa masih memakai baju merah dan seluar dalam
berwarna putih. 25 dari kedudukan mayat pula terdapat seluar panjang
bercorak bunga yang dipercayai milik mangsa.
Muka mangsa juga mempunyai luka seperti dipukul dengan objek
tumpul.
Polis telah mengumpul bahan-bahan bukti berkenaan untuk siasatan
lanjut.
Siasatan awal mendapati, mangsa bernama Aidatul Izah, 20, janda anak
satu. Polis juga telah menahan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes
bunuh itu.
Suspek mengaku telah membunuh mangsa dengan melilit lehernya menggunakan
tali berwarna biru lalu dijerut sehingga mati. Bagi memastikan mangsa
sudah benar-benar tidak bernyawa, suspek memukul kepala mangsa dengan
objek tumpul.
Suspek yang berusia 19 tahun itu mengaku menyesal membunuh mangsa, malah
tidak menyangka dia tergamak berbuat demikian terhadap mangsa yang juga
merupakan jirannya.
Namun, suspek menjelaskan, mangsa kerap meminta dia bertanggungjawab di
atas kehamilannya yang dianggarkan sudah berusia 24 minggu atau 6 bulan.
Selain itu, suspek mendakwa mangsa juga selalu meminta wang
daripadanya.
Tertekan dengan desakan itu, suspek mengambil keputusan untuk membunuh
mangsa dan mencampak mayatnya di longkang.
"Saya diminta untuk bertanggungjawab di atas kehamilan dan dia selalu
meminta wang dari saya," katanya.
Polis berkata, suspek mengenali mangsa sejak Julai 2019 dan menjalinkan
hubungan sehingga ke tahap melakukan persetubuhan.
Suspek akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dan bakal berdepan
dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau penjara selama 20
tahun.
Sumber: Tribun News