'Syaitan yang suruh aku buat!' - Budak tadika yang sedang tidur, maut dikelar penagih dadah
Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut ditikam dan lehernya
dikelar oleh suspek yang menceroboh sebuah tadika sebelum menjerit,
"Syaitan yang suruh aku buat!".
Suspek yang dikenali sebagai Denis Pozdeev, 36, menceroboh bangunan itu
yang terletak di Naryan Mar, Rusia. Pengawal keselamatan yang sedang
bertugas pada hari kejadian tidak menahan suspek yang masuk ke dalam
tadika itu di kala murid-murid sedang tidur tengah hari.
Pozdeev terus menyerang mangsa yang sedang tidur dengan mengelar leher
mangsa menggunakan pisau.
Beberapa minit kemudian, mangsa meninggal dunia di pangkuan gurunya.
Pengawal keselamatan berjaya menahan suspek dan diserahkan kepada pihak
polis.
Mangsa dikenali sebagai Kirill Savenkov, 6, merupakan murid tahun akhir
tadika itu sebelum memulakan persekolahan di sekolah rendah.
Bapa mangsa, Konstantin berkata, pihak tadika menghubungi isterinya,
Yelena, dan memaklumkan mengenai tragedi itu.
Ketika disoal siasat, Pozdeev berkata, dia terdengar suara di dalam
kepalanya yang mendorong dia melakukan jenayah itu.
Suspek yang didapati berada dibawah pengaruh alkohol atau dadah, tidak
mengenali mangsa dan menjelaskan dia tidak sengaja masuk ke tadika itu
kerana sedang berhalusinasi.
Namun, pemeriksaan polis pada kediamannya menemui sekeping kertas yang
mengandungi maklumat mengenai tadika berkenaan, antaranya mengenai waktu
operasi dan jumlah kanak-kanak di dalamnya.
Sumber: Daily Mail