Denda RM1,129 jika berkumpul di lokasi kemalangan
DUBAI: Pihak berkuasa di Abu Dhabi mengeluarkan notis peringatan baharu yang memberi amaran kepada orang ramai agar tidak berkumpul di lokasi kemalangan.
Lapor Khaleej Times, denda 1,000 dirham (RM1,129) akan dikenakan jika mereka berbuat demikian.
Jelas notis itu, tindakan berkumpul di sekitar lokasi kemalangan menghalang kenderaan kecemasan seperti polis trafik dan ambulans.
Keputusan tersebut dibuat selepas polis Abu Dhabi berkongsi video di laman media sosial yang memaparkan pemandu kenderaan berkumpul di lokasi kemalangan membabitkan dua kereta.
Klip video itu menunjukkan orang ramai parkir kenderaan mereka dalam keadaan tidak teratur sehingga menghalang lalu lintas.
Rakaman itu juga memaparkan pejalan kaki di kawasan tersebut merakam gambar insiden kemalangan itu.
Polis menegaskan mana-mana individu yang merakam dan berkongsi video kemalangan juga akan dikenakan hukuman penjara dan didenda.
Hukuman itu sebagai cara untuk menghalang orang ramai daripada terlibat dalam tingkah laku negatif itu.