"Rehat La mak...", Ibu Arwah Abam Bocey, Ali Puteh Meninggal Dunia.. Al Fatihah..
KUALA LUMPUR: Ibu kepada pelawak popular, Allahyarham Abam Bocey dan Ali Puteh iaitu Sabariah Arshad, 64, menghembuskan nafas terakhir akibat serangan asma dan komplikasi pelbagai penyakit di Hospital Selayang, di sini, jam 11.54 malam tadi.
Berita pemergian arwah dikongsi anggota kumpulan Bocey dan pelawak popular, Achey selepas usaha mendapatkan Ali gagal apabila panggilan tidak dijawab dan mesej tiada balasan, tengah malam ini.
Achey memaklumkan berita pemergian arwah yang dipanggil Mak dikongsi Ali ketika dia menghubunginya untuk mendapatkan perkembangan terkini keadaan kesihatan arwah.
"Saya dihubungi isteri ketika dalam perjalanan ke Johor Bahru atas urusan kerja. Saya diberitahu keadaan kesihatan arwah sedang semakin merosot ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang.
"Sebaik sahaja menghubungi Ali, dia memaklumkan arwah baru sahaja menghembuskan nafas terakhir. Arwah dimasukkan ke zon kritikal akibat serangan asma dan pelbagai komplikasi penyakit sejak Selasa lalu.
"Mendengar berita pemergian arwah, saya memutuskan untuk patah balik dan pergi ke hospital untuk menziarahi arwah dan Ali dan ahli keluarga untuk memberi kata semangat," katanya kepada BH Online.
Berkongsi maklumat pengebumian jenazah, Achey berkata, arwah akan disemadikan tanah perkuburan sama dengan Allahyarham Abam iaitu Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak.
"Arwah bukan pesakit C0V.1D-19, jadi jenazahnya dapat diuruskan secara normal. Urusan untuk membawa pulang jenazah sudah pun selesai, tengah malam tadi.
"Ali memaklumkan jenazah arwah ibunya akan dikebumikan sebelum solat Jumaat, hari ini," katanya.
Pada Disember tahun lalu, arwah pernah dimasukkan ke Hospital Selayang kerana serangan asma hingga terpaksa ditidurkan dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.