'Selain pampasan RM3.1 juta, dia (pemilik bot) juga berjanji akan menjaga saya' - Ibu Tangmo | Kronologi kematian pelakon Thailand, Tangmo Nida
Misteri kematian selebriti Thailand, Nida Patcharaveerapong atau lebih dikenali sebagai Tangmo Nida, 37, masih lagi menjadi bahan bualan ramai di media sosial sama ada di dalam atau luar negara berikutan terdapat beberapa perkara yang berlaku ketika kematiannya menimbulkan banyak persoalan.
Mayat Tangmo ditemui di Sungai Chao Phraya pada 24 Februari 2022. Kes kematian Tangmo menarik perhatian netizen di serata dunia kerana berlaku banyak kejanggalan yang berlaku ketika media pada awalnya melaporkan mangsa mati akibat lemas.
Difahamkan pada hari kejadian, Tangmo bersama pengurus dan rakan-rakannya menaiki bot laju di Sungai Chao Phraya. Namun, berlaku kejadian dimana Tangmo terjatuh dan tidak disedari oleh yang lain, padahal mereka menaiki bot laju bersaiz kecil. Laporan mengatakan Tangmo 'hilang' dari bot itu selama 29 minit sebelum disedari rakan-rakan lain. Mereka dikatakan cuba mencari Tangmo selama 20 minit sebelum mengambil keputusan untuk meminta bantuan dari pihak berkuasa.
30 penyelam dikerahkan ke lokasi kejadian mencari mangsa. Mayat Tangmo ditemui oleh abangnya sendiri, Dais Dejjab, pada hari ketiga yang menyedari ada sesuatu yang terapung di permukaan air.
Apabila disoal pihak berkuasa, mereka yang terlibat menjelaskan tidak dapat membantu mangsa kerana keadaan pada waktu itu sangat gelap.
Dikhabarkan, akaun Instagram Tangmo pada waktu kejadian masih aktif di mana dia dilaporkan meninggal dunia kerana lemas.
Posting gambar Tangmo yang sedang berenang di laut, kolam renang dan yang lain (berkaitan) juga telah dipadamkan dari Instagramnya.
Ibu mangsa, Panida Siriyuthayothin, tidak dapat menerima berita kematian anaknya itu dan berasa curiga dengan dakwaan tersebut kerana anaknya adalah perenang yang hebat. Adalah mustahil Tangmo mati akibat lemas. Turut dipertikaikan mengapa Tangmo tidak memakai jaket keselamatan pada malam itu. Melihat pada gambar yang dimuat naik di Instagram, Tangmo kelihatan sedih dan ada sesuatu yang telah berlaku tetapi tidak didedahkan sesiapa.
Ada juga yang berkata Tangmo berkemungkinan terjatuh ketika mahu membuang air kecil di belakang kapal. Tetapi dakwaan itu juga tidak diterima Panida kerana Tangmo adalah seorang selebriti dan tidak mungkin akan kencing secara terbuka dan sebarangan.
Setelah kejadian itu, rakan-rakannya yang terbabit dalam kes itu tidak dapat dihubungi selama berjam-jam. Laporan juga mengatakan terdapat kesan-kesan luka cakaran di tubuh badan mereka.
Lebih menambahkan kecurigaan ramai, apabila mayat mangsa ditemui oleh pihak berkuasa, terdapat kesan luka dalam di bahagian paha dan jika melihat gambar mayat Tangmo, mayatnya tidak seperti orang yang meninggal akibat lemas kerana ada kesan-kesan luka di tubuh badannya.
Dengan tersebarnya gambar penemuan mayat mangsa, ramai netizen menyimpulkan beberapa teori konspirasi tentang kematian mangsa dan teori yang banyak mengundang perhatian netizen adalah dakwaan Tangmo sebenarnya telah dibunuh oleh rakan-rakannya.
Teori itu berdasarkan keadaan mayat mangsa yang kelihatan seperti dibunuh, beberapa kesan luka di badannya, seakan-akan selari dengan kesan-kesan luka cakaran pada tubuh badan rakan-rakannya, berkemungkinan ketika kejadian Tangmo bergelut dengan mereka. Dan juga bagaimana Tangmo boleh tenggelam, berkemungkinan sudah lemas dan mayatnya sengaja ditenggelamkan agar disangka mati lemas. Namun itu semua hanyalah teori sahaja.
Setakat ini dua suspek telah didakwa iaitu Tanupat Por Lerttaweewit (pemilik) dan Phaiboon Robert Trikanjananun (pemandu) kerana dianggap cuai sehingga menyebabkan kematian sesorang. Phaiboon juga didapati tidak memiliki lesen memandu ketika membawa Tangmo dan rakan-rakannya.
Satu lagi kontroversi dari kes ini melibatkan pengurus Tangmo yang bernama Idsarin Gatick Juthasuksawat, yang ada bersama dengan mangsa ketika kejadian.
Ketika berkata kepada media, Gatick berkata jika rakannya (Tangmo) meninggal dunia, dia tiada lagi pendapatan dan kenyataan Gatick itu membuatkan ramai netizen bengang kerana dia hanya memandang Tangmo sebagai tempat menjana wang sahaja.
Panida ada bertanya kepada Gatick, mengapa dia tidak menolong anaknya pada waktu itu. Gatick memberi alasan bahawa dia tidak pandai berenang. Dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah Tangmo yang ditumpangnya selama ini dan berharap Tangmo dapat berenang sendiri ke tepian.
Info tambahan: Menurut netizen di Thailand, Gatick selalu memakai pakaian milik Tangmo.
Dalam perkembangan terbaru, Panida dikatakan telah memaafkan kedua-dua suspek iaitu Tanupat Por Lerttaweewit dan Phaiboon Robert Trikanjananunl Dua suspek berkenaan dikatakan telah membayar wang pampasan sebanyak 30,000,000 baht atau RM3.8 juta. Tindakan Panida itu mengundang kemarahan dan kekecewaan ramai.
Panida bagaimanapun menafikan dakwaan netizen kononnya dia memaafkan dua suspek berkenaan disebabkan wang RM3.1 juta. Sebaliknya dia memaafkan mereka kerana Tanupat berusaha menelefonnya berkali-kali walaupun tahu dia sedang marah. Malah Tanupat berjanji akan menjaganya seperti yang dilakukan Tangmo selama ini.
"Andai kata Tangmo memperoleh 1 juta baht daripada hasil siri TV. Jika dia hidup selama 30 tahun lagi, saya boleh darabkan jumlah itu dengan 30. Ini masih tidak termasuk kehilangan pendapatan daripada sesi bergambar sebagai model," katanya.
Panida menegaskan dia tidak akan memaafkan pengurus anaknya, kerana Gatick hanya menghubunginya selepas tiga hari kematian anaknya. Malah dia menuduh Gatick yang menjadi punca kematian Tangmo.
Sumber: Gowjek