Bau busuk bongkar penemuan mayat mangsa dikerat 15 oleh anaknya yang dipercayai alami masalah mental

 

Foto Harian Metro


Bau busuk membawa kepada penemuan 15 keratan bahagian badan seorang wanita warga emas dalam tangki kumbahan dipercayai dibunuh anak lelakinya, di sebuah rumah di Taman Kerian, Parit Buntar kelmarin.


Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya bergegas ke rumah mangsa berusia 68 tahun itu untuk membuat pemeriksaan sebaik menerima aduan bau busuk luar biasa daripada jiran sekitar.


"Kita mendapat panggilan daripada jiran mengatakan bau busuk yang luar biasa mengakibatkan pihak polis bergegas ke tempat kejadian.

"Apabila kita pergi ke belakang rumah dan melihat ada papan lapis yang digunakan untuk menutup saluran lubang najis, kita jumpa body (cebisan mayat) di dalam itu.


"Pihak forensik menjumpai antaranya peralatan yang digunakan untuk membunuh mangsa. Kita mempercayai suspek bertindak mengetuk kepala mangsa dulu kemudian baru mengerat," katanya.


Mior berkata pihak polis sebelum ini menerima laporan anak perempuan mangsa mengenai kehilangan ibunya beberapa hari lepas.


"Mangsa berusia 68 dan suspek berusia 42 tahun tinggal bersama. Anak yang lain akan menghubungi ibu mereka setiap hari tetapi pada 28 Mei lalu, telefon dijawab oleh suspek yang mengatakan mangsa keluar rumah dan tidak pulang.


"Ia menyebabkan seorang daripada anak mangsa membuat laporan polis dan kita menjalankan siasatan sebagai orang hilang.


"Kita yakin suspek mempunyai masalah mental dan permohonan reman ke atasnya akan dibuat pada hari ini bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.


Difahamkan, suspek tidak pernah menerima rawatan mental susulan selepas 20 tahun. Rawatan pada 20 tahun lalu itu diterimanya di sebuah pusat perubatan swasta di Pulau Pinang.


Hasil bedah siasat mendapati, mangsa mati akibat luka tetakan dan potongan di pelbagai bahagian tubuh. 


"Tubuh mangsa telah dipotong sehingga putus kepada 15 bahagian, termasuk kepala, tangan, kaki serta organ badan yang lain. Mangsa didapati sudah meninggal dunia pada masa kejadian," katanya.


Sumber: Bernama, Harian Metro

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel

close