ASP Berkait Geng Nicky Dibebas Dengan Jaminan polis
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai
polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang dikaitkan dengan kumpulan
jenayah terancang, Geng Nicky telah dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin.
Peguam, Gobind Singh Deo yang
mewakili Baldev Singh Gurdial Singh, 36, selaku pemohon memaklumkan demikian ketika
dihubungi media semalam.
Kelmarin, sebuah portal berita
melaporkan seorang lagi pegawai polis, ASP Rahmat Fitri Abdullah yang juga
dikaitan dengan geng jenayah tersebut turut dibebaskan.
Sementara itu, Peguam
Persekutuan, Muhammad Safuan Azhar ketika ditemui selepas tamat prosiding
pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Catherine Nicholas berkata,
rentetan pembebasan itu, pemohon akan menarik balik permohonan habeas corpus
yang difailkan pada 30 April lalu.
“Mahkamah menetapkan pengurusan
kes lanjutan pada 11 Mei ini berhubung permohonan untuk menarik balik habeas
corpus itu. Ia akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan,”
katanya.
Menurut writ yang difailkan,
Baldev Singh menamakan pegawai penyiasat, Superintendan Amran Mohd. Jusin dan
Ketua Polis Negara sebagai responden pertama dan kedua.
Berdasarkan afidavit sokongannya,
pegawai polis itu memberitahu dia telah ditahan pada 26 April lalu mengikut
Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi membantu
siasatan kes jenayah di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan.
Baldev Singh mendakwa dia tidak
pernah terlibat dengan apa-apa kes jenayah dan penahanannya itu adalah tidak
sah serta bertentangan dengan Artikel 5.8 dan 121 Perlembagaan Persekutuan.
Pada 15 April lalu, Utusan
Malaysia mendedahkan Deputi Superintenden Polis (DSP) dan ASP antara kira-kira
34 nama anggota dan pegawai polis yang dikenal pasti menjadi tali barut kumpulan
jenayah terancang Geng Nicky.
Pada 27 April lalu, Ketua Polis
Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dipetik berkata, pihak polis telah
menjalankan Op Pelican 3.0 Fasa 2 yang dijalankan Polis Johor di sekitar Kuala
Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Pada operasi tersebut seramai 12
pegawai penguat kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditahan.
Sumber : UTUSAN ONLINE
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan
bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu dan memikirkan
implikasinya sebelum menulis komen anda
disini mahupun di media sosial yang berkaitan dengan artikel ini. Pihak admin
juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini mahupun
dimedia sosial. Ditegaskan, Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda
sendiri.

