"Mimpi Tu Memang Petanda Aira Akan Pergi..", Bayi 11 Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat 3
KUALA LUMPUR – Bapa kepada bayi
perempuan berumur 11 bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga di
Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Aman, Kuala Lumpur pada 2 Mei lalu bermimpi
orang ramai mengunjungi rumahnya dalam keadaan menangis beberapa hari sebelum
kejadian.
Menurut ibu mangsa, Norasikin
Juliar, 37, suaminya bagaimanapun tidak mengetahui punca kunjungan tersebut
namun tidak menyangka itu mungkin petanda kehilangan anak mereka.
Katanya, suami, Khairul Faizal
Abd Rahim, 37 amat terkesan dengan kehilangan anak bongsu mereka, Nur Aira
Batrisya dan masih belum mampu menerima kenyataan tersebut.
“Suami ralat kerana ketika
kejadian, dia sedang tidur akibat penat bekerja dan menyalahkan dirinya tidak
bermain dengan anak-anaknya,” katanya ketika ditemui media di rumahnya pada
Ahad.
Pada 3 Mei lalu, Ketua Polis
Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai mengesahkan seorang bayi perempuan
maut selepas terjatuh dari tingkat tiga di PPR Sri Aman.
Beliau berkata, kejadian tersebut
berlaku pada jam 6 petang dan mangsa ketika itu sedang bermain bersama abang,
kakak dan sepupunya di atas katil bersebelahan dengan tingkap dalam bilik rumah
itu.
Mengulas lanjut ibu kepada tujuh
orang anak itu berkata, suaminya belum bersedia untuk berjumpa orang ramai dan
hanya pulang pada waktu malam setelah semua orang tidur.
“Kekuatan saya dan dia tidak sama
kerana saya pernah melalui pengalaman kehilangan ibu dan nenek.
“Saya juga bersyukur mendapat
sokongan daripada adik-adik dan jiran, berbeza dengan suami yang lebih suka
berdiam diri.
“Saya berhasrat menghantar suami
ke sesi kaunseling untuk memulihkan semangatnya,” katanya.
Norasikin juga merayu masyarakat
tidak menghukum anak-anaknya atas kejadian yang menimpa adik bongsu mereka.
“Anak-anak saya sudah cukup
terseksa dengan kematian Aira, namun masih ada masyarakat yang menganggap
mereka cuai,” ujarnya.
Menurut Norasikin, dia tidak
menyalahkan anak-anaknya yang lain kerana kejadian itu adalah ketentuan ALLAH
SWT dan mereka sekeluarga hanya memperbanyakkan doa.
“Aira dah seronok berjumpa
keluarga dan rakan-rakan di sana. Saya tidak mahu anak-anak rasa bersalah
dengan perkara ini,” katanya.
Dalam perkembangan sama, dia
turut menerima kunjungan daripada Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia
(Gerakan), Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang menyerahkan sumbangan barangan asas
dan bantuan jeriji tingkap.
Dominic meluahkan rasa kecewa
selepas mendapat tahu perumahan berkenaan tidak dilengkapi dengan jeriji
tingkap.
Sumber : sinarharian
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan
bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu dan memikirkan
implikasinya sebelum menulis komen anda
disini mahupun di media sosial yang berkaitan dengan artikel ini. Pihak admin
juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini mahupun
dimedia sosial. Ditegaskan, Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda
sendiri.