Dari subjek gagal terus ubah strategi sampai dapat 9A! Pelajar ini anggap ada hikmah di sebalik PKP, jadi ‘guru’ ajar lebih 100 calon SPM
DULU remaja ini memperoleh keputusan gagal bagi subjek Matematik sewaktu di tahap menengah rendah, malah mendapat A bagi mata pelajaran lain pun sukar sekali.
Selepas lima tahun, dia kini berbangga dengan
pencapaian Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila berjaya mencapai 'straight A'
bagi kesemua sembilan subjek.
Bukan 'edit', namun itulah realiti transformasi
seorang remaja yang membuat perkongsian tersebut menerusi video di aplikasi
TikTok.
Remaja berkenaan, Alif Iskandar Shamsuhaime
mengakui tidak berminat dengan subjek Matematik ketika di peringkat menengah
rendah.
"Bila tak minat, saya belajar pun main-main.
Bila dapat keputusan peperiksaan, memang gagal dengan keputusan F untuk
Matematik seperti yang dijangka.
"Saya kemudian mendapati Matematik tak
susah pun sebenarnya, saya sendiri buatnya susah. Cikgu-cikgu bersusah-payah
mengajar tapi saya main-main," katanya kepada mStar.
Alif berkata, transformasi dirinya bermula
apabila dia terdetik hati untuk bertemu dengan senior-seniornya di Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM) Beseri di Perlis bagi mendapatkan tip menjadi pelajar
cemerlang.
"Senior-senior kata beri lebih tumpuan
kepada subjek yang kita rasa susah. Sejak itu saya buat persiapan untuk target
keputusan lebih baik dalam PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga).
"Selama ini saya selalu ikut cara belajar
macam rakan-rakan lain. Tapi selepas itu saya belajar mengikut kaedah sendiri
yang saya lebih selesa dengan gaya belajar kinestetik.
"Antara yang saya buat adalah menulis nota
yang pertama sebagai draft dan fahamkannya, sebelum menyalin semula untuk nota
yang lebih lengkap dengan tambahan info dan gambar menarik untuk pemahaman
lebih berkesan," ujar anak kelahiran Sepang, Selangor itu.
Menurut anak sulung daripada enam beradik itu,
prestasinya menunjukkan peningkatan apabila memperoleh keputusan A untuk enam
subjek daripada 10 mata pelajaran bagi PT3.
"Matematik saya meningkat daripada gagal
kepada C dan seterusnya B dalam PT3. Masa tu saya semakin bersemangat sebab
nampak corak belajar yang baru berhasil.
"Bila masuk Tingkatan Empat, saya belajar
di aliran Sains dan Matematik dah dapat A, tapi masa tu belum A+. Saya juga mencapai
keputusan yang baik dalam subjek Fizik," ujarnya.
Namun timbul persoalan dalam dirinya sama ada
boleh mencapai keputusan semua A dalam SPM 2020 berikutan cabaran yang dihadapi
akibat pandemik Covid-19.
"Boleh ke saya dapat 9A? Mulanya saya tak yakin sebab masa dah suntuk. Tiba-tiba PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan menyukarkan lagi keadaan.
"Tapi saya anggap PKP sebagai hikmah yang
memberikan saya lebih masa untuk membuat persediaan termasuk mengajar
rakan-rakan di Tingkatan Lima menerusi program guru muda.
"Dari kelas online membabitkan lebih 100
calon SPM hingga belajar di kelas dengan kira-kira 30 pelajar bagi setiap sesi.
Peranan saya seperti guru dengan konsep seperti tuisyen," katanya yang
membimbing rakan-rakannya menerusi 20 kelas secara keseluruhan.
Alif berkata, dia seperti tidak percaya apabila
memperoleh keputusan SPM dengan 9A, baru-baru ini kerana menyedari dahulunya
mencatatkan subjek yang gagal.
"Saya fikir tak kisah dari mana kita mula,
tapi dari mana ia akan berakhir. Apa yang penting adalah dedikasi dan motivasi
serta sokongan daripada keluarga, guru-guru dan rakan-rakan.
"Macam tak percaya pernah dapat F dan
sekarang peroleh 9A. Syukur Alhamdulillah," katanya yang bercita-cita
untuk menjadi jurutera mekanikal.
Sumber : mstar
Sudah baca jangan lupa like, komen dan share ya
😊
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan
bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami.
Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu dan memikirkan implikasinya sebelum
menulis komen anda disini mahupun di media sosial yang berkaitan dengan artikel
ini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis
disini mahupun dimedia sosial. Ditegaskan, Segala komen adalah hak dan tanggungjawab
anda sendiri.