“Elak Kibar Bendera Putih, Masih Ada Cara Lebih Baik”, Nasihat ADUN Tanjung Lumpur
Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar kurang bersetuju dengan kempen kibarkan bendera putih yang tular di media sosial.
Menurut beliau, perbuatan itu tidak sewajarnya dilakukan kerana masih
terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan bantuan selain dikhuatiri ada yang
mengambil kesempatan.
Selain itu, tindakan mengibarkan bendera putih juga diibaratkan seperti
menyerah kalah dalam peperangan.
“Jangan angkat bendera putih, macam orang kalah perang, kita masih ada
kekuatan, kibarkan panji Islam dengan kibaran Syiarnya Islam sebagai agama
yang saling membantu,” tulisnya.
Menerusi akaun Facebook rasminya juga, beliau memberikan tiga sebab mengapa
kurang bersetuju dengan kempan tersebut.
“Saya tak setuju cadangan dinaikkan bendera putih untuk maklumkan kita
kehabisan makanan kerana:
“1. Ada yang akan ambil kesempatan. 2. Memelihara maruah diri dan ummah. 3.
Kita masih ada cara yang lebih baik dan dapat menutup keaiban orang”,
jelasnya.
Dalam pada itu menerusi hantaran yang sama, beliau yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur memberikan beberapa saranan yang lebih
baik menurut pandangannya.
Berikut merupakan saranan yang diberikan:
1. Ahli parlimen dan ADUN mesti membuka bilik operasi
dan membuka
talian operasi sepanjang tempoh pandemik sekaligus menjadi penyelaras kepada
organisasi yang diamanahkan untuk menyalurkan bantuan.
2. Organisasi komuniti masyarakat seperti JKKR, KRT, Kejiranan dan
seumpamanya juga mesti membuka bilik operasi bantuan untuk orang yang
terputus bekalan makanan, juga menyediakan khidmat penghantaran bagi yang
tiada kenderaan
3. Masjid/Surau mesti berperanan sebagai pusat bantuan rakyat samaada
dengan dana bantuan kerajaan/ Masjid/Surau/Majlis Agama/Pusat Zakat, dan
bantuan orang ramai. Bagi yang bukan Islam juga boleh dilaksanakan di
Kuil/Tokong/Gereja dan mana2 pusat komuniti mereka.
4. Pastikan talian operasi diketahui oleh komuniti dengan apa jua cara
sebaran. Yang memerlukan bantuan boleh datang atau menghubungi talian
operasi, data maklumat akan dapat mengelakkan orang mengambil kesempatan,
datang berulang kali sehingga rumah mereka jadi stor menyimpan barang
sumbangan, sekaligus ianya dapat memelihara maruah.
Sehubungan itu, Rosli berkata, bagi penduduk di Dun Tanjung Lumpur boleh
menghubungi talian operasi 011-5989 7556, jika terputus bekalan
makanan.
Terdahulu, rakyat Malaysia tampil dengan satu kempen yang dipanggil #BenderaPutih di platform media sosial bermula semalam.
Inisiatif itu bertujuan untuk membantu golongan yang terkesan akibat
pandemik terutamanya yang putus bekalan makanan dan memerlukan bantuan
segera sekaligus mendapat sokongan dalam kalangan rakyat.
Sumber : Gempak