"Ada yang Sanggup Tak?..", Gagal Capai Sasaran Kerja, Pekerja Dipaksa Makan Ulat Hidup
SHAANXI, CHINA - Sebuah kedai perabot di China telah memperkenalkan
hukuman yang pelik untuk pekerjanya mempunyai prestasi kurang cemerlang
dengan memaksa mereka makan ulat hidup.
Bukan itu sahaja, malah mereka perlu makan ulat itu di khalayak ramai,
lapor People Daily China.
Pada jam 6.30, Selasa, 8 November lalu, kira-kira 50 orang yang memakai
pakaian seragam kedai perabot itu berkumpul di dataran di pusat bandar
wilayah Hanzhong, Shaanxi. Kemudian datang seorang lelaki dengan dua
beg.
Beg pertama mengandung penyepit, cawan dan dua botol minuman keras,
manakala beg kedua pula mengandungi ulat yang masih hidup.
Selepas membacakan nama-nama pekerja yang mempunyai prestasi rendah,
lelaki itu kemudian menuang minuman keras dan beberapa ekor ulat dalam
cawan sebelum menyuruh para pekerja terbabit minum. Lima atau enam orang
pekerja akur dengan arahan lelaki itu terus meminum isi kandungan dalam
cawan tersebut.
Menurut salah seorang pekerja kedai tersebut, semua pekerja dikehendaki
melaporkan sasaran kerja mereka kepada penyelia setiap pagi. Jika ada
pekerja yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, mereka akan dihukum
pada hari berikutnya.
"Hukuman hari ini adalah makan ulat yang dibeli dari kedai haiwan
peliharaan. Mereka yang gagal mencapai sasaran kerja dikehendaki makan
empat ekor ulat bagi setiap seorang pelanggan yang hilang,"
jelasnya.
Salah seorang pekerja menolak menjalani hukuman itu kerana bimbang dengan
keselamatan bayinya.
"Saya tak boleh makan ulat sekarang, apatah lagi minum minuman keras
kecuali saya tidak mahu bayi dalam kandungan ini," katanya.
Kasihan melihat keadaan wanita itu, seorang lelaki menawarkan diri untuk
membantunya.
Difahamkan ini bukanlah kali pertama syarikat berkenaan menjalankan
hukuman seperti ini. Sebelum hukuman makan ulat hidup, mereka juga pernah
dipaksa makan sotong dan semut hidup.
Menurut individu yang bertanggungjawab, Cao, berkata, pihak syarikat itu
telah menetapkan sasaran jualan untuk hari esok dan semua pekerja telah
menandatangani sasaran harian itu.
"Jika ada yang gagal mencapai sasaran, pekerja berkenaan akan menerima
hukuman secara sukarela. Sasaran itu ditetapkan oleh pekerja sendiri
bagi tujuan memotivasikan diri," katanya.
Bagaimanapun, netizen berpendapat bahawa syarikat itu sepatutnya
menghormati pekerjanya, bukannya menjatuhkan maruah mereka.
Peguam tempatan, Zhao Xiaodong berkata, tindakan syarikat itu memaksa
pekerjanya makan cacing jelas sekali melanggar hak-hak pekerja dan perkara
itu akan dilaporkan kepada Jabatan Buruh untuk tindakan
selanjutnya.