Wanita Tawar Perkhidmatan Belasah Perempuan Simpanan Suami
CHINA - Seorang wanita bernama Zhang Yufeng, telah membantu ramai wanita
bergelar isteri lebih sedekad dengan membalas dendam terhadap perempuan
simpanan suami mereka.
Selama bertahun-tahun, Zhang telah membantu ribuan wanita di mana suami
mereka berlaku curang dengan mengumpul bukti bagi kes-kes yang dibawa ke
mahkamah dan adakalanya membimbing mereka bagaimana cara untuk memukul dan
memalukan perempuan simpanan suami mereka di tempat awam.
Zhang yang popular dengan gelaran 'Pembunuh Perempuan Simpanan', mendapat
ilham untuk menawarkan perkhidmatan tersebut selepas suaminya berlaku
curang pada tahun 1990'an dan meminta perceraian.
"Seminggu saya terlantar di sofa. Bila saya keluar dari rumah, rambut
saya banyak beruban dan orang kata berat badan saya turun 10 kilogram,"
katanya mengimbau kenangan lama.
Enggan menyeksa dirinya begitu, Zhang mengambil keputusan untuk membalas
dendam. Zhang nekad untuk mengesan bekas suami dan perempuan simpanannya.
Namun pasangan itu kerap berpindah kerana terdesak melarikan diri dari
Zhang.
Tidak lama kemudian, seorang wanita tua meminta Zhang membantu anaknya
yang dilanda kemurungan selepas suaminya berlaku curang. Belum sempat
Zhang menghulurkan bantuan, wanita berkenaan telah membunuh
diri.
Apabila ditanya, mengapa ibu wanita itu tidak mengambil tindakan terhadap
menantu lelakinya itu di mahkamah di atas kematian anaknya, wanita tua itu
tidak mempunyai bukti yang kukuh. Dan dari saat itulah Zhang mendapat
ilham untuk membantu golongan wanita yang dianiaya oleh suami
mereka.
"Saya beritahu makcik itu bahwa saya akan hapuskan lelaki-lelaki yang
tidak berguna seperti itu," katanya.
Kini, Zhang memiliki hartanah di Beijing dimana dia telah membantu
golongan wanita yang telah dihalau oleh suami mereka yang lebih
mementingkan perempuan simpanan.
Kadar perceraian yang tinggi di China juga telah membantu perniagaan
Zhang berkembang pesat. Setiap hari Zhang menerima lebih 100 panggilan
daripada wanita yang terdesak sehingga dia dianggap sebagai wira dan
selebriti bagi sesetengah pihak.
Jadi, tidak hairanlah jika terdapat video sekumpulan wanita membelasah
seorang perempuan yang didakwa sebagai perempuan simpanan di tempat awam
sehingga pakaiannya ditanggalkan bagi tujuan mengaibkan. Malah, orang
ramai yang menyaksikan kejadian itu juga tidak bertindak membantu
mangsa.
Sementara di media sosial mempersoalkan mengapa sekumpulan wanita
terbabit tidak mengerjakan si suami yang berlaku curang, daripada
mengerjakan perempuan simpanan berkenaan.
Namun bagi Zhang, dia mahu mendera perempuan yang bergelar sebagai
perempuan simpanan dan memenggal kepala mereka dengan pedang.
The Global Times juga melaporkan Zhang pernah membelasah perempuan
simpanan di tengah jalan raya yang sibuk.
"Kami belasah seorang perempuan yang disyaki sebagai perempuan simpanan
di tengah jalan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Ramai yang
menyaksikan kami membelasah perempuan itu.
"Bila polis tiba di tempat kejadian. saya terus memaklumkan bahawa
perempuan itu telah menggoda suami orang. Polis itu memaklumkan bahawa dia
"tidak melihat apa yang berlaku'. Bila mendengar katanya itu, saya tahu
dia maksudkan 'teruskan' dan kami terus membelasah perempuan berkenaan,"
katanya.
Pada tahun 1990'an, polis enggan mencampuri urusan yang dianggap sebagai
urusan keluarga dan mereka sering tidak mengendahkan jika Zhang dan
rakan-rakannya membelasah perempuan yang disyaki sebagai perempuan
simpanan.
"Saya agak merindui masa lalu," katanya.