Enggan Pulangkan Kereta Sewa, Lelaki Tikam Dada Dan Perut Pemilik Kereta
KUALA KETIL, KEDAH - Pemilik kereta sewa Perodua Axia, cedera ditikam
dengan pisau selepas penyewa bersama tiga lagi rakannya enggan memulangkan
kereta tersebut, lapor Sinar Harian.
Dalam kejadian jam 9 malam tadi di Taman Orkid, mangsa, Muhammad Helmy
Husnizam Syah Baharzam Shah, berusia lingkungan 30-an cedera di bahagian
dada dan perut akibat ditikam.
Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya, Muhammad Aqil Abdul Haris, 25,
terserempak dengan kereta itu di susur Orkid 7, Taman Orkid Kuala Ketil,
lalu beritndak mengejar penyewa terbabit.
Difahamkan, sebelum peristiwa berdarah itu berlaku, mangsa telah cuba
menghubungi penyewa terbabit, malangnya panggilan itu tidak dijawab
biarpun beberapa kali dihubungi.
"Kawan saya telefon banyak kali agar mereka lelaki itu memulangkan semula
kereta dan menjelaskan bayaran bagi tempoh masa tambaha, tetapi tiada
sebarang respon.
"Akhirnya kawan saya terserempak dengan kereta miliknya itu di kawasan
Taman Orkid sebelum ditikam selepas mengejar lelaki itu dan rakannya,"
kata seorang lagi rakannya, Muhammad Yasir Amboala, 27.
Sementara itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung
kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.