'Mungkin Anjing Itu Terkejut Dengar Bunyi Rempuhan, Lalu Terus Menggigit Kepala Dan Telinga Anak Saya'
Dalam kejadian di depan rumah kedai di Taman Banang Height kemarin,
mangsa, Ainin Syuhadah Syahrul Nizam, 2, parah di kepala akibat digigit
seekor anjing yang ditambat di hadapan premis tersebut.
Menurut laporan, motosikal yang ditunggang oleh bapa saudaranya, 17,
dalam perjalanan pulang ke rumah sewa yang berdekatan. Namun dalam
perjalanan itu, adiknya cuba mengelak sebuah lori yang sedang memunggah
barang lalu menyebabkan mereka terbabas dan merempuh pintu kedai
bersebelahan menyebabkan kesemua mangsa terjatuh.
"Kami dalam perjalanan pulang dari hospital selepas menziarahi seorang
lagi adik saya yang sakit dan ketika kejadian, saya memeluk Ainin Syuhadah
lalu terjatuh ke dalam longkang. Manakala adik saya dan Ainul Safiya jatuh
di bahagian kaki lima premis berkenaan," katanya.
Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), anjing berkenaan terus
menerkam mangsa dan enggan melepaskan gigitannya menyebabkan orang ramai
yang melihat kejadian itu turut membantu melepaskan mangsa.
"Secara tiba-tiba anjing yang diikat di situ menerkam kami, mungkin
kerana haiwan itu terkejut terdengar bunyi rempuhan motosikal ke pintu
kedai dan terus menggigit kepala Ainin Syuhadah.
"Anak saya menangis kesakitan dan meraung sekuat hati ketika anjing itu
menggigit bahagian belakang kepala termasuk telinga kanan sehingga darah
mengalir. Orang ramai juga membantu melepaskan gigitan anjing terbabit
sebelum anak dibawa ke hospital dan menerima beberapa jahitan di kepala
serta telinga," katanya yang masih berada dalam keadaan
trauma.
Difahamkan, Noor Fazilah Ishak, 30, anaknya, Ainul Safiya, 4, serta
bapa saudaranya tidak mengalami sebarang kecederaan dan Ainin Syuhadah
kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Dalam kenyataan kepada media, Noor Fazilah kesal dengan komen-komen
netizen yang membuat andaian sendiri sehingga menuduh adiknya mengambil
bahan terlarang, selain menyatakan pemilik anjing berkenaan tidak
bertanggungjawab.
"Saya kesal apabila membaca komen di media sosial termasuk menyatakan
pemilik anjing berkenaan tidak bertanggungjawab. Sedangkan mereka memberi
kerjasama yang baik termasuk melawat anak di hospital semalam.
"Kami juga sudah membuat laporan polis serta merujuk kepada Jabatan
Veterinar berkaitan haiwan itu dan tidak mahu isu ini terus diperbesarkan
sedangkan ia boleh diselesaikan dengan cara baik," katanya.
"Kes berkenaan disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 manakala kes
kanak-kanak digigit anjing disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan
kerana cuai sehingga menyebabkan binatang peliharaan mendatangkan
kecederaan.
"Jika disabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksima enam bulan dan
denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.