Lelaki ini berjaya menemui ibunya menggunakan Google Earth selepas terpisah 25 tahun
INDIA - Hati ibu mana yang tidak sedih bila terpisah dengan anaknya
selama bertahun-tahun tanpa mengetahui sebarang khabar berita. Namun,
selepas terpisah selama 25 tahun, dua beranak terbabit disatukan semula
selepas anaknya berjaya mencari beliau menggunakan Google
Earth.
Fatima Munshi, 60, menyangka dia akan kehilangan anaknya selepas
kanak-kanak itu hilang pada 1987 ketika mereka sedang mencari
makanan.
Difahamkan, Saroo, 5, bersama abangnya, Guddu, 14, telah pergi ke sebuah
pekan di Burhanpur dengan menaiki kereta api untuk meminta sedekah kerana
keluarga mereka sangat miskin. Namun, Saroo yang kepenatan dan Guddu
mengarahkannya untuk tidur sebentar di stesen itu sementara dia pergi
meminta sedekah. Dan itulah kali terakhir dia melihat Saroo.
|
Apabila terbangun dari tidur, Saroo mendapati dirinya keseorangan. Dia
cuba mencari abangnya, namun gagal. Selama empat minggu Saroo hidup di
jalanan dan berharap agar ada individu yang mampu membawanya pulang ke
rumahnya.
Dalam tempoh itu juga, Saroo pernah ditawarkan tempat tinggal oleh
seorang pekerja stesen kereta api tersebut. Tetapi lelaki itu cuba
mengambil kesempatan untuk mencabulnya. Disebabkan itu Saroo terpaksa
melarikan diri dari lelaki itu dan bersembunyi dalam paip yang berbau
busuk dan dipenuhi dengan sarang labah-labah.
Saroo akhirnya diambil dan dibawa ke rumah anak yatim, Nava Jeevan, di
mana tempatnya hidup dalam keadaan selesa selama dua bulan sebelum
dijadikan sebagai anak angkat Sue dan John Brierley.
|
Selepas beberapa tahun berlalu, Saroo hidup bahagia dengan keluarga
angkatnya di Australia. Namun dia tidak pernah melupakan keluarga dan
kampungnya.
Beberapa tahun kemudian, Saroo mula mencari lokasi kampungnya dalam
Google Earth setiap malam. Sehingga tahun 2011, Saroo berjaya mengesan
stesen kereta api yang diingatnya seperti nama Berampur.
|
"Apabila saya menekan simbul biru yang memaparkan nama bandar itu
Burhanpur, jantung saya hampir berhenti. Saya teruja dan tertanya-tanya
apakah ini tempat tinggal keluarga asal saya? Hanya satu saja cara untuk
memastikannya," katanya.
Saroo kemudian kembali ke India dan berjaya menemui ibunya pada tahun
2012. Fatima tahu Saroo adalah anaknya sebaik saja melihat kesan parut di
dahinya.
"Saya sedang membasuh pinggan di tempat orang dan tiba-tiba jiran saya
datang dan menjerit bahawa anak saya telah pulang. Saya menjerit padanya
jangan mainkan perasaan saya. Sehinggalah dia mengheret saya keluar dari
rumah dan bertemu dengan Saroo.
"Saya terkedu dan tergamam seketika bila bertemu dengannya (Saroo).
Matanya sama, parut di dahinya juga membuktikan bahawa dia adalah anak
saya. Akhirnya doa saya dimakbulkan dan ia seperti bertemu dengan
tuhan.
|
"Perkataan pertama yang dia sebut, 'Ma' dan kami terus berpelukan selama
beberapa jam. Kami tidak bercakap, hanya memeluk masing-masing sebelum
jiran-jiran mulai meraikan kegembiraan ini.
"Inilah saat-saat terindah dalam hidup saya. Saya sangat gembira yang dia
masih sayang pada kami dan tidak berubah. Saya masak segala makanan
kesukaannya seperti telur kari, dal dan ikan. Saya tahu dia masih menyukai
masakan saya, malah dia meminta resepi itu.
"Sekarang kami kerap berbual dengan bantuan penterjemah. Saya harap dapat
bertemu dengan dia lagi. Saya tak sabar nak berjumpa dengan dia. Saya juga
berterima kasih kepada keluarga Brierley yang membesarkan anak saya dengan
baik. Saya gembira yang Saroo bukan sahaja ada seorang ibu, malah ada dua
ibu yang amat menyayanginya.
"Setiap hari saya rasa seperti mati dan hidup seperti tidak lengkap serta
menyakitkan tanpa dia selama 25 tahun. Saya cuba mencarinya di setiap
tempat, namun gagal menemuinya," katanya.
Menurut Fatima, dia enggan meninggalkan tempat tinggal itu kerana bimbang
jika suatu hari kelak anaknya itu akan kembali. Selama 25 tahun Fatima
hidup dalam kesedihan dan dalam tempoh itu juga dia tidak mengetahui sama
ada anaknya itu hidup atau mati. Namun kali ini, segala-galanya sudah
terjawab.
|
|
Saroo juga menulis tentang kisah hidupnya dan kini telah dijadikan
sebagai filem yang dibintangi oleh Nicole Kidman dan Dev
Patel.
Sumber asal, Daily Mail