Muat naik gambar 'selfie' di Facebook, suami b4k4r isteri dengan petrol
THAILAND - Seorang suami cemburu dengan isterinya memuat naik gambar
selfie di Facebook bertindak mencurahkan petrol pada isterinya sebelum
membakarnya, lapor Mirror.
Mangsa, Chatchawarn Tarrin, 28, berkahwin dengan Nednapha Nuankhul, 26,
sejak Januari tahun lalu. Namun lelaki itu mula berubah selepas beberapa
bulan berkahwin.
Nednapha sebelum kejadian memuat naik tiga gambar selfienya di Facebook
pada Disember tahun lalu, menyebabkan suaminya cemburu.
Mangsa yang mempunyai seorang anak cuba melarikan diri tetapi Chatchawarn
mencurah petrol dan menyalakan api pada mangsa di kediaman mereka di
Amphoe Chiang Kham, utara Thailand.
Neddnapha melecur teruk di seluruh badan termasuk wajahnya sehingga
terpaksa menjalani tiga pembedahan dan beberapa lagi pembedahan susulan
pada tahun ini.
Walaupun diperlakukan seperti itu, Nednapha berkata, dia memaafkan
tindakan suaminya itu yang kini sedang menunggu untuk dijatuhkan hukuman
di mahkamah.
"Apa yang berlaku sememangnya menakutkan saya tetapi saya perlu memaafkan
suami demi anak lelaki kami.
"Apabila api membakar tubuh saya, saya rasa seperti dibakar api neraka.
Ini kesakitan yang paling teruk yang tidak dapat dibayangkan oleh
sesiapa.
"Saya terpaksa menerima keadaan saya begini untuk selama-lamanya dan saya
tahu 'neraka' itu wujud.
"Kita boleh lari dari segala-galanya teteapi kita tidak dapat lari dari
karma. Tiada siapa yang menjangka kejadian seperti ini boleh berlaku dan
kita tak dapat nak mengelakkannya berlaku.
"Sudah tentu suami saya akan rasa berdosa dan dia akan mendapat karmanya
juga satu hari nanti. Sekarang suami saya tak boleh lari dari segalanya
dan telah dipenjarakan. Namun dia ada anak yang memerlukan kasih sayang
seorang bapa," katanya.
Rakan mangsa, Sudarat Khunarup, memuat naik gambar kecederaan Nednapha
untuk meminta sumbangan orang ramai bagi membantunya menanggung kos
rawatan agar mangsa pulih sepenuhnya.
"Suami dia curah petrol dan bakar dia. Tetapi dia masih hidup, dalam
keadaan yang amat menderita dan memerlukan bantuan orang
ramai.
"Dia telah dibedah di bahagian leher, mulut dan dagunya beberapa kali.
Jari jemarinya juga parah dan memerlukan lebih banyak pembedahan yang
dilakukan pada tangan kanannya yang kini mengalami masalah
ligamen.
"Dia tidak dapat bekerja dan suaminya tidak dapat menyara dia dan anaknya
kerana berada di penjara," katanya.