"Saya Minta Maaf, Saya Ada Masalah Kewangan."- Lelaki Minta Maaf Selepas Rompak Bank!..
BANGKOK: "Saya minta maaf, saya ada masalah kewangan," kata seorang lelaki
bersenjata kepada seorang juruwang di Bank Thanachart yang terletak di Rama
III Road, Khamis sebelum melarikan wang berjumlah Bt270,000
(RM34,254).
Lelaki berusia kira-kira 30 tahun itu mengambil masa kira-kira satu minit
untuk merompak juruwang di cawangan Bang Khlo Laem kira-kira pukul 8.52
pagi.
Saksi memberitahu polis bahawa lelaki itu memakai sarung kepala yang kadang
kala dipakai oleh penunggang motosikal sebelum memakai topi keledar.
Timbalan pesuruhjaya polis metropolitan Surachai Kuandechakup berkata
suspek menghampiri juruwang berkenaan, menunjukkan senjata yang tidak dapat
dikenal pasti jenisnya dan menuntut agar wang diberikan kepadanya.
"Suspek meminta maaf dan memberitahu bahawa dia mempunyai masalah wang,"
kata Surachai.
Dia kemudian meletakkan wang itu ke dalam begnya dan keluar dari bank
secara senyap-senyap.
Malah pengawal keselamatan menolong membuka pintu untuknya, kerana
menganggap dia adalah seorang budak penghantar.
Surachai berkata, berdasarkan apa yang dinyatakan suspek kepada juruwang
tersebut, dia bukanlah seorang penjenayah profesional.
Seorang pengawal keselamatan bank memberitahu pihak polis bahawa wajah
perompak terbabit seperti biasa dilihatnya dan bermungkinan adalah pelanggan
bank.
Polis sedang memeriksa kamera keselamatan bank untuk mengenal pasti
perompak tersebut dan membuat lakaran.
Beberapa saksi berkata mereka dapat melihat dengan jelas wajahnya yang
tidak dilindungi.
Polis berkata lelaki bersenjata itu memakai baju dan seluar hitam.
Dia masuk ke dalam bank sambil membawa beg dan berkelakuan seperti
pelanggan biasa.
Suspek kemudian mengacukan pistol kepada juruwang dan menuntut wang
tunai.
Sumber: mStar Online