Suami Kejam! Potong Telinga Isteri Tanpa Sebab
Afghanistan - Seorang lelaki bertindak kejam memotong kedua-dua telinga
isterinya yang berusia 23 tahun ketika mereka sedang tidur.
Wanita itu, 23, yang sedang dirawat di sini, dengan mukanya bengkak
akibat dipukul suami, kini berharap mendapat sumbangan untuk rawatan di
luar negara.
Zarina yang ditunangkan dengan suaminya itu pada usia 13 tahun dan
berkahwin tujuh tahun kemudian, tidak tahu kenapa suaminya bertindak
demikian pada tengah malam Selasa lalu, di perkampungan mereka di wilayah
Balkh, dekat sempadan Uzbekistan.
"Dia bangun pada 3 pagi, mengikat kaki dan tangan dengan kain tudung
saya. Saya merayu kepadanya (jangan berbuat demikian) namun tidak
diendahkan,” katanya yang ditemui di hospital.
Menurutnya, suaminya menumbuk mukanya beberapa kali, mengambil pisau dan
memotong kedua-dua cuping telinganya sebelum keluar dari rumah.
Zarina terpaksa menanggung kesakitan sepanjang malam sehingga ditemui
jiran pada sebelah pagi dan membawanya ke rumah saudaranya sebelum dibawa
ke hospital di Mazar-i-Sharif, bandar utama wilayah Balkh.
“Dia tiba pada 9.30 pagi dengan kedua-dua cuping telinga tiada. Dia dalam
keadaan terkejut selain kehilangan banyak darah,” kata pengarah hospital,
Dr Shafir Shayek.
Menurut Zarina, dia tahu kenapa suaminya bertindak demikian kerana tidak
pernah membantahnya, walaupun tidak dibenarkan menziarah ibunya kerana
bimbang wanita itu ‘bertemu lelaki lain’.
“Dia amat tidak sopan, kasar. Bila marah dia pukul seseorang walaupun
bapa, ibunya sendiri,” katanya.
Menurut sumber hospital, lelaki itu dipercayai penagih dadah tetapi tidak
diketahui jenis dadah.
Lelaki itu masih menghilangkan diri dan pihak berkuasa sedang
mengesannya.
Kejadian yang menimpa Zarina antara ratusan, mungkin ribuan kes kekejaman
terhadap wanita di Afghanistan.