Wanita dituduh mencuri kereta, mati selepas diikat pada pokok dipenuhi semut api
BOLIVIA - Seorang wanita meninggal dunia selepas disalah sangka sebagai
pencuri kereta dan diikat pada pokok yang dipenuhi dengan semut
berapi.
Mangsa berusia 52 tahun sebelum itu diselamatkan oleh polis dalam keadaan
masih bernyawa, namun meninggal dunia di hospital akibat saluran
pernafasannya bengkak teruk akibat digigit serangga tersebut.
Lapor Daily Mail, mangsa sebelum itu telah pergi membantu anak
lelakinya yang diikat pada sebatang pokok oleh orang awam yang menuduh
mereka cuba mencuri sebuah kereta di Caranavi. Anak perempuannya juga
menerima hukuman yang sama tetapi dia dan abangnya sempat diselamatkan dan
kini beransur pulih dari kecederaan.
Lapor media tempatan, ketiga-tiga mangsa juga dipukul dan dibakar dalam
kejadian yang berlaku pada malam tahun baru itu.
Gambar kejadian itu turut dikongsikan oleh sebuah stesen radio tempatan
di mana dua daripada tiga mangsa diikat pada sebatang pokok dan mata
mereka ditutup dengan kain sambil diperhatikan orang awam termasuk seorang
kanak-kanak lelaki tidak jauh dari situ.
Siasatan awal pihak berkuasa mendapati, mangsa bersama dua anaknya yang
berusia 22 dan 28 tahun dalam perjalanan ke La Paz untuk mengutip
hutang.
Difahamkan, pokok yang dijadikan sebagai tempat mengikat ketiga-tiga
mangsa adalah pokok mistik yang berasal dari pantai Amerika Selatan yang
menjadi kegemaran semut api Brazil yang terkenal dengan gigitan yang
berbisa.
Ketua Polis tempatan, Gunter Agudo berkata, "Kami berjaya menyelamatkan
ketiga-tiga mangsa, namun salah seorang daripada mereka dalam keadaan
kritikal dan dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
"Wanita berusia 52 tahun itu kemudian meninggal dunia pada jam 3.30
petang.
"Pada mulanya kes disiasat sebagai kes mencuri kereta bersenjata tetapi
kini bertukar kepada kes bunuh," katanya.
Seorang suspek telah ditahan pada 1 Januari kerana disyaki telah
menghasut beberapa penduduk yang lain untuk melakukan pembunuhan
itu.