Anak berkomplot dengan ibu untuk bunuh bapa kerana tidak benarkan mereka pakai jeans
Seorang isteri dan empat anak perempuannya didakwa bersekongkol mengupah
dua pembunuh upahan untuk membunuh suaminya yang merupakan anggota polis
demi mendapatkan dana bantuan berjumlah RM465,171.26 dan juga kerana
mangsa tidak membenarkan keluarganya memakai jeans, lapor Daily
Mail.
Mayat Meharbaan Ali, ditemui di loji kumbahan di Uttar Pradesh, utara
India, kira-kira 250 meter dari kediaman keluarganya, Ahad
lalu.
Selepas mayat mangsa ditemui, polis mula menjalankan siasatan dan
meneliti semua video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan
tersebut untuk membantu siasatan.
Ekoran kejadian itu, polis telah menahan Zahida Begum, 52, dan anak
perempuannya, Saba, 26, Zeenat, 22, Iram, 19 dan Alia, 18, di kediaman
mereka di Shahjahanpur.
Daya Chand Sharma, inspektor dari Balai Polis Bazaar berkata, Zahida dan
anak-anaknya kecewa dengan tindakan Ali yang melarang mereka memakai
jeans.
"Sejak mayat mangsa ditemui, kami mengesyaki anggota keluarganya terlibat
dalam kejadian ini kerana mayat mangsa ditemui kira-kira 250 meter dari
kediaman mereka.
"Rekod panggilan telefon semua ahli keluarga mangsa juga diperiksa dan
siasatan mendapati, Zahida kerap menghubungi satu nombor yang
sama.
"Operasi siasatan yang dilancarkan secara besar-besaran dan pemeriksaan
pada video CCTV menemui petunjuk penting dalam membantu menyelesaikan kes
ini.
"Ketika disoal siasat, suspek (Zahida) mengaku telah mengupah dua lelaki
untuk membunuh mangsa," katanya.
Difahamkan, Zahida membayar RM5,814 kepada dua lelaki terbabit dan
bakinya akan dibayar menggunakan duit gaji mangsa yang disimpan di rumah,
sekiranya mereka berjaya menyelesaikan tugasan yang diberi.
Berdasarkan siasatan polis, mangsa meninggalkan balai pada jam 10 pagi
Sabtu dan tiba di rumahnya pada jam 10.45 pagi. Dua pembunuh upahan,
Tahseen dan Ehsaan, kemudian memasuki kediaman itu dan Ali dibunuh
kira-kira jam 1 petang.
Dua suspek itu kemudian membawa keluar dan membuang mayat mangsa dengan
bantuan ahli keluarganya sendiri.
Menurut sumber polis, Zahida dan empat anak perempuannya akan menerima
tiga faedah berikut sekiranya Ali meninggal dunia iaitu:
- Salah seorang anak perempuannya akan mendapat pekerjaan di jabatan tempat bapanya bekerja.
- Isteri akan bayaran pencen (separuh dari gaji)
- Ahli keluarga akan mendapat dana bantuan dari polis sebanyak RM465,171.26.
Sementara itu, dua pembunuh upahan yang terlibat juga mempunyai rekod
jenayah lampau dilaporkan telah melarikan diri selepas kejadian itu.
Bagaimanapun, kedua-duanya berjaya ditahan semula pada Rabu.