Anjing buta sebelah mata dipukul owner kerana kencing dalam rumah
Berang dengan anjing peliharaan berak dan kencing di dalam rumah,
pemiliknya bertindak memukul haiwan itu sehingga cedera dan buta sebelah
mata.
Lapor Sohu, kejadian itu berlaku pada 22 Oktober lalu apabila anjing itu
tidak dapat menahan diri lalu 'melepas' di dalam rumah.
Pemiliknya yang ternampak anjingnya berbuat demikian terus membelasah
haiwan itu dengan kayu dan tangannya.
Setelah puas berbuat demikian, dia mengheret dua kaki belakang anjing itu
ke tingkat bawah dan membuangnya di tepi jalan.
Mujur ada jiran yang baik hati, Tang, menyelamatkan anjing itu selepas
terdengar kekecohan yang berlaku di rumah pemiliknya.
Tang meminta lelaki itu membawa anjing itu ke klinik haiwan tetapi lelaki
itu tidak mengendahkannya.
Kasihan melihat keadaan anjing itu yang cedera parah, dia terus
membawanya ke sebuah klinik haiwan berhampiran.
Selepas diperiksa oleh doktor veterinar, Tang dimaklumkan anjing itu
mengalami retak tulang, mata kanannya rosak dan terpaksa dibuang, selain
organ dalamannya juga cedera.
Doktor veterinar terpaksa melakukan pembedahan segera dan keadan anjing
itu kini dilaporkan stabil, namun masih perlu dipantau. Sekiranya tiada
sebarang masalah dalam tempoh tiga hari, anjing itu akan pulih seperti
biasa.
Selepas mengetahui anjing itu dirawat, pemiliknya meminta Tang
menyerahkan anjing itu kepadanya semula. Tetapi Tang tidak mahu kerana
bimbang kejadian yang sama akan berulang.
Sumber: Sohu