'Apalah dosa kucing ni, sampai kau aniaya dia begini'
Netizen di China mendesak pihak universiti mengambil tindakan tegas
terhadap seorang pelajarnya yang didapati membunuh seekor kucing dengan
kejam.
Pelajar yang tidak didedahkan identitinya itu dilaporkan telah
menggunakan busur dan anak panah untuk membunuh kucing itu, tidak lama
selepas dia tiba di Universiti Ekonomi Hubei untuk semester
pertamanya.
Semalam, gambar kucing malang yang dibuang di tempat pembuangan sampah
itu mula viral di media sosial di negara itu.
Beberapa pelajar mengeluarkan kucing itu dan terus membawanya ke
klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan.
Malangnya, meskipun mereka telah membelanjakan kos rawatan sebanyak 1,000
yuan (RM603), kucing itu gagal diselamatkan.
Suspek dipercayai melakukan perbuatan kejam itu ketika waktu rehat bagi
sesi latihan ketenteraan dan video itu dirakam oleh rakannya.
Pada malam Selasa lalu, pihak universiti memaklumkan siasatan akan
dijalankan dengan bantuan pihak polis.
Bagaimanapun, tidak dapat dikenal pasti apakah tindakan atau hukuman yang
akan dikenakan terhadap suspek. Sementara itu di media sosial, netizen
mendesak pihak universiti membuang pelajar terbabit.