Berang dengan orang sebelah, jiran bina tembok depan rumah
Penghuni di sebuah rumah di Desa Sudimoro, Kabupaten Jombang, Jawa Timur,
terkurung gara-gara tembok yang dibina oleh jirannya sejak Februari
2018.
Rumah tersebut didiami oleh pasangan suami isteri, Siti Khotijah, 35, dan
Abdul Karim, 40, bersama dengan seorang anak mereka sejak tahun
2006.
Difahamkan, tanah itu adalah tanah pemberian orang tua Siti dan dibina
rumah untuk dijadikan tempat tinggal tetap selama bertahun-tahun tidak
pernah mengalami sebarang masalah dengan jiran di sekeliling.
Sehinggalah enam bulan lalu apabila Siti mencuci kenderaan miliknya di
depan rumah. Air cucian mengalir masuk ke halaman rumah jirannya yang
kemudian mencetuskan pertengkaran.
Ekoran dari kejadian itu, jiran terbabit membina tembok setinggi satu
meter dengan lebar enam meter di hadapan rumah Siti.
Tembok yang dibina dengan batu bata merah, simen dan pasir itu berdiri
tegak di hadapan pintu rumah Siti sehingga mengganggu jalan keluar masuk
ke rumah.
"Pada awalnya, saya tidak menyangka dia akan membina tembok di sini,"
katanya.
Meskipun kesal dengan tindakan jirannya itu, Siti dan keluarganya
terpaksa melalui ruang sempit itu setiap hari.
Difahamkan, pihak berkuasa juga terpaksa campur tangan untuk
menyelesaikan masalah dua pihak berkenaan, namun menemui kegagalan kerana
jiran berkenaan mendakwa tanah yang diduduki Siti dan keluarganya itu
adalah tanah miliknya.
Kes itu menjadi berlarutan dan memaksa pihak berkuasa menyiasat dakwaan
itu.
Sementara itu, jiran berkenaan mendakwa dia membina tembok itu kerana
berasa jengkel dengan sikap Siti yang juga kerap kali menyebut tanah itu
adalah tanah milik orang tuanya. Padahal tanah itu adalah
miliknya.
"Awal-awal lagi dia terus cari pasal dengan saya. Saya berasa jengkel
apabila dia sering kali mengata saya sebagai pencuri tanah. Bukan sebulan
dua, tapi sampai tujuh bulan," katanya.
Jirannya itu bagaimanapun tiada masalah untuk merobohkan semula tembok
itu tetapi dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Siti
sekeluarga. - Kompas.com