Gara-gara isteri selalu ejek orang, tiga beranak mati dibunuh
Bengang kerap diejek dengan gelaran 'gajah', seorang lelaki nekad
menculik dan membunuh satu keluarga dalam kejadian di Deli Serdang,
Sumatera Utara.
Suspek, Agus Hariyadi, didakwa dibantu tiga rakannya mengikat tangan,
kaki dan mulut mangsa sebelum menghumban kesemua mangsa ke dalam sungai,
sekali gus menghapuskan bukti perbuatan jenayah mereka.
Bagaimanapun, jenayah mereka terbongkar selepas mayat Muhajir, Suniati
(isteri) dan Solihin (anak lelaki) ditemui terapung di Sungai Blumei,
Tanjung Morawa, Isnin lalu.
Difahamkan, polis telah dimaklumkan mengenai kehilangan mereka sejak 9
Oktober lalu.
Terdahulu, suspek bersama dengan tiga rakannya telah datang ke rumah
keluarga itu dengan alasan mahu meminjam wang dan kehadiran mereka
disambut masuk ke dalam rumah oleh Mujahir.
Ketika di ruang tamu, suspek terus memukul kepala Mujahir dengan
batu-bata, lalu mengikat mangsa dengan pita pelekat.
Tidak berapa lama kemudian, isteri Mujahir, Suniati, datang ke ruang tamu
terus ditangkap dan mulutnya ditutup dengan pita pelekat, manakala rakan
suspek turut melakukan perkara yang sama pada anak mereka,
Solihin.
Ketiga-tiga mangsa dikumpulkan diruang tamu sebelum dibawa masuk ke dalam
kereta yang sudah disediakan lalu dibawa ke satu jambatan dan dibuang ke
dalam sungai.
Ekoran kejadian itu, polis telah memburu kesemua suspek. Dua rakan suspek
berjaya ditahan dari tempat persembunyian. Suspek utama dan seorang lagi
rakannya bagaimanapun memilih untuk melawan sehingga polis terpaksa
melepaskan tembakan terhadap suspek utama yang maut serta merta di tempat
kejadian. Rakan suspek pula cedera ditembak di bahagian kaki.
Siasatan awal polis mendapati, motif pembunuhan adalah kerana dendam di
mana suspek tidak tahan seringkali diejek oleh Suniati dengan gelaran
gajah berikutan keadaan fizikalnya yang gempal.
"Dia meminta bantuan dari tiga rakannya untuk melupuskan mayat dan bahan
bukti," kata Ketua Polis Sumut, Agus Andrianto.
Kesemua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk didakwa atas pertuduhan
membunuh.
Sumber: Tribun News, mStar Online


