Buah pinggang 'dicuri' suami kerana keluarga isteri tak bayar mas kahwin RM122
Seorang wanita India mendakwa suaminya telah mencuri salah satu buah
pinggangnya dan dijual di pasar gelap selepas keluarganya gagal membayar
mas kahwin, lapor Daily Mail.
Rita Sarkar, 28, mendakwa suaminya mengambil kesempatan ke atas dirinya
ketika dia menghidap penyakit apendiks dua tahun lalu dan buah pinggangnya
dikeluarkan semasa mangsa dibedah bagi merawat penyakitnya
itu.
Sarkar berkata, dia tidak mengetahui jenayah yang dilakukan suaminya itu
sehingga beberapa bulan lalu apabila dia dimasukkan ke hospital dan dotor
mendapati buah pinggang kanannya telah hilang.
"Dua tahun yang lalu saya menderita sakit perut. Suami membawa saya pergi
ke sebuah klinik swasta di Kolkata di mana dia dan kakitangan klinik
berkenaan memberitahu yang saya akan sembuh selepas melakukan pembedahan,"
katanya.
Sarkar juga dinasihatkan oleh suaminya agar tidak memaklumkan kepada
sesiapa mengenai pembedahan itu. Namun selepas pembedahan itu, Sarkar
masih mengalami masalah kesihatan yang berterusan di bahagian perut dan
belakang badan.
Akhirnya, Sarkar dibawa oleh keluarganya ke hospital untuk mendapatkan
rawatan yang kemudian menjalani pemeriksaan dan dimaklumkan buah pinggang
kanannya telah hilang.
"Baru sekarang saya faham mengapa sebelum ini suami berpesan agar tidak
menceritakan pembedahan itu kepada sesiapa. Dia menjual buah pinggang saya
kerana keluarga saya tidak dapat menunaikan tuntutan mas kahwin,"
katanya.
Difahamkan, mas kahwin dibayar oleh keluarga pengantin perempuan kepada
pengantin lelaki yang diamalkan kebanyakan masyarat di India meskipun
amalan itu telah diharamkan sejak 1961.
Ibu kepada anak lelaki berusia 11 tahun itu berkata, suaminya telah
meminta mas kahwin sebanyak 2,000 rupee (RM122). Tetapi keluarganya tidak
dapat menunaikan permintaan lelaki itu.
Ekoran kejadian itu, polis telah menahan suspek dan abangnya pada Isnin
lalu dan didakwa memperdagangkan organ manusia.
Difahamkan juga, suspek telah menjual buah pinggang isterinya kepada
seorang ahli perniagaan dan mendakwa mangsa telah bersetuju untuk
'mendermakan' organnya.