'Dia habiskan US$10 juta untuk beli kasut dan barang perhiasan' - Rakyat guling Presiden Filipina dan isterinya
Selepas perang dunia kedua, negara Filipina merupakan negara kedua
terkaya di Asia Timur selepas Jepun. Namun status itu tidak bertahan lama
apabila kuasa pentadbiran diambil alih oleh Ferdinand Marcos yang berjaya
menjawat jawatan presiden pada 9 November 1965 bagi tempoh 20 tahun dari
1965 hingga 1986.
Sepanjang tempoh itu, Marcos dan isterinya yang merupakan bekas finalis
ratu cantik 1950, Imelda Remedios Visitacion Romauldez atau Imelda Marcos
didakwa banyak menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan gaya hidup mewah
dengan menggunakan wang rakyat.
Filipina yang sebelum ini merupakan negara yang kaya, menjadi miskin
sepanjang 20 tahun di bawah permintahan Marcos.
Marcos dilahirkan pada 11 September 1917 dan berasal dari sebuah daerah
miskin. Ketika di universiti, Marcos sangat aktif dengan sukan dan menjadi
peninju.
Dalam karier politik, Marcos pernah dipilih menjadi anggota parlimen dua
kali dan semenjak dari itu, kehidupannya mula menjadi mewah dan gemar
berfoya-foya sebelum bertemu dengan seorang model, Imelda.
Kedua-duanya mempunyai hobi yang sama, suka berjoli, berpesta dan gemar
membeli barangan mewah serta sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang
dimiliki untuk melengkapkan gaya hidup mereka.
Dari situ, Marcos mengimpikan menjawat jawatan tertinggi di negara itu,
malangnya dibantah oleh Parti Liberal yang disertainya. Kecewa dengan
perkara itu, Marcos kemudian menyertai Parti Nasionalis dan akhirnya
terpilih menjadi Presiden Filipina pada tahun 1965.
Dalam tempoh 4 tahun kepimpinannya, tahap kemiskinan negara itu semakin
menjadi-jadi, begitu juga dengan masalah pengangguran. Namun Marcos dan
Imelda terus mengumpul harta kekayaan, sementara pihak media yang dikuasi
oleh Marcos pula berkata lain tentang pasangan ini bagi menenangkan rakyat
atau dalam erti kata lain, memperbodohkan rakyat.
Kroni-kroni Marcos juga sentiasa mendapat habuan agar mereka terus
menyokong Marcos. Jika ada yang lantang bersuara mengenainya, pasti akan
menerima akibat yang buruk.
Pada tahun 1970, Marcos semakin kerap menyalahgunakan kuasanya dengan
melantik ahli keluarga, kenalan dan kroni menjawat jawatan-jawatan penting
dalam kerajaan. Isterinya juga telah dilantik sebagai Gabenor Metro Manila
dan turut dilantik menjadi Menteri Penempatan Masyarakat serta duta
istimewa dan berkuasa penuh.
Jawatan-jawatan ketenteraan juga diisi oleh golongan kroni Marcos bagi
menjamin sokongan angkatan tentera kepada dirinya. Beberapa pegawai tinggi
tentera disogok dengan projek bernilai jutaaan dolar.
Di arena politik pula, musuh-musuh politiknya dipijak. Tidak cukup dengan
itu, Marcos menggunakan tentera untuk mengancam, menculik dan membunuh
mana-mana pihak yang cuba menentang dan menyainginya dalam
politik.
Sementara itu, Imelda, lahir pada 2 Julai 1929 pula sangat gemar
berbelanja dan kerap mengikut suaminya apabila berkunjung ke luar negara.
Sedangkan rakyat di negaranya hidup dalam keadaan serba kekurangan dan
miskin.
Sikapnya yang suka berbelanja itu semakin menjadi-jadi apabila di banyak
membeli pakaian mahal, perhiasan mewah dan barang-barang mewah lain ketika
pergi ke New York pada sekitar 1978 - 1981.
Ia menjadi semakin teruk pada 1983 di mana Imelda berbelanja US$7 juta di
New York, Rome, Coppenhagen dan membeli barang perhiasan, sewaan limosin
dan lukisan Michaelangelo dalam masa 90 hari. Lebih teruk lagi, Imelda
pernah menyuruh juruterbang pesawat peribadinya berpatah balik hanya
kerana terlupa membeli keju untuk persediaan makanannya.
Kediaman rasmi Presiden Filipina, Istana Malacanang juga dihiasi dengan
lukisan-lukisan mahal, barang perhiasan seperti pasu yang berharga serta
barang-barang mewah lain yang dibeli dengan menggunakan wang
rakyat.
Imelda juga didakwa pernah memiliki rumah di kawasan pantai yang
mempunyai 21 bilik. Rumah tersebut penuh dengan barang perhiasan dan
barangan mewah seperti lampu, pasu bunga, sofa mahal dan karpet mahal. Di
rumah itu juga, Marcos dan Imelda seringkali mengadakan pesta menari bagi
golongan konglomerat dan rakan sejawat mereka.
Kemuncaknya, Marcos dituduh membunuh musuh politiknya, Benigno Aquino.
Tetapi Marcos menafikan tuduhan itu dan mendakwa pihak komunis yang
menjadi dalang pembunuhan Aquino dan bermula dari situlah zaman kejatuhan
Marcos.
Rakyat sudah mula muak dengan sistem pemerintahan Marcos yang digelar
sebagai diktator itu lalu menubuhkan gerakan rakyat yang dinamakan sebagai
People Power Revolution, dipimpin oleh isteri Aquino, Corazon Aquino.
Tentera yang sebelum ini menyebelahi Marcos juga berpaling tadah kerana
takut dengan kebangkitan rakyat.
Marcos dan Imelda akhirnya melarikan diri ke Hawaii pada 1986 setelah
mereka diancam akan diheret ke muka pengadilan untuk memberi keterangan
berhubung kes kematian Aquino dan segala salahlaku Marcos ketika menjadi
presiden.
Dalam keadaan yang tergesa-gesa meninggalkan negara, Imelda terpaksa
meninggalkan semua barang-barangnya di Istana Malacanang.
Berdasarkan laporan Data Transparency International, Marcos telah
merompak wang rakyat sekurang-kurangnya US$10 billion, tidak termasuk
pembelian barang-barang mahal yang dibeli oleh Imelda menggunakan duit
rakyat. Wang yang dicuri juga disimpan di bank-bank luar negara dan
aset-aset hartanah di Amerika Syarikat dan Eropah sebelum dibekukan dan
dikembalikan kepada negara Filipina.
Siasatan polis juga menemui sebanyak 3,000 koleksi kasut, 1,500 koleksi
beg tangan, 1,200 koleksi gaun designer, 1,000 koleksi beg duit, 500
koleksi baju dalam berwarna hitam, koleksi coat berbulu dalam 35 buah
almari.
Barang perhiasan lain yang turut ditemui seperti gelang, rantai, jam
tangan, subang, perbelanjaan renovasi kediaman, hartanah dalam dan luar
negara, simpanan peti besi di beberapa buah negara luar dan dipercayai ada
beberapa peti besi yang sehingga kini masih belum dapat dikesan
dianggarkan bernilai ratusan juta dolar.
Kesemua barangan mewah yang ditemui itu disita dan kemudian dijadikan
barang pameran di muzium.
Marcos kemudian meninggal dunia pada 1989 di Hawaii tetapi Kerajaan
Filipina enggan menerima jenazahnya dikubukan di negara itu. Akhirnya,
mayat Marcos diawet dan disimpan dalam peti kaca.
Sebaik saja kematian suaminya, Imelda bersama dengan tiga orang anaknya
kembali ke Filipina dan membina semula pengaruh politiknya.
Imelda yang kini berusia 86 tahun kini merupakan Ketua Umum Parti
Nasionalis dan masih berminat bertanding dalam pilihan raya umum akan
datang bagi mencabar Rodrigi Duterte.
Sumber rujukan: TribunNews, Sinar Harian, Nakita, Zul Segamat