Kaki Imraan mungkin akan dipotong selepas gigitan serangga di kaki dijangkiti bakteria pemakan daging
Kebiasaannya kita mengabaikan kesan gigitan serangga kerana ia akan pulih
sendiri dalam masa yang singkat. Namun, kita selalu dinasihatkan untuk
tidak menggaru kesan gigitan itu secara berlebihan.
Seorang ibu di Singapura baru-baru ini berkongsi mengenai kejadian yang
menimpa anaknya pada 17 Januari lalu di mana anak lelakinya yang berusia
dua tahun, Imraan Danish, dijangkiti bakteria pemakan daging selepas kaki
kanannya digigit serangga.
Menurut si ibu, dia berkongsi mengenai perkara itu kerana mahu orang
ramai mengambil maklum dan tidak memandang ringan dengan kes-kes kecil
seperti ini terutamanya jika mereka merasa ada sesuatu yang tidak
kena.
"Segalanya bermula dari gigitan serangga yang kemudian menjadi luka
kerana mungkin dia garu kesan gigitan itu lalu dijangkiti bakteria
sehingga menembusi sistem badan dan mula menjejaskan badannya.
"Di mana dan serangga apa yang menggigitnya, kami tak dapat jawab
persoalan itu," katanya.
Difahamkan, mangsa mengalami demam panas yang melampau tetapi selepas
diberi ubat, Imraan kembali pulih.
Si ibu tidak menyangka apa-apa yang buruk akan berlaku sehingga dia mula
menyedari keadaan anaknya semakin teruk dan terus dihantar ke hospital,
ditahan di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak.
Doktor mendapati Imraan telah dijangkitan bakteria yang dikenali sebagai
GAS (Group A Streptococcus) yang boleh membawa maut.
Selepas lima minggu menjalani rawatan di hospital, Imraan kembali pulih.
Namun masih ada luka di kaki kanannya yang dijangkiti dan doktor berkata,
mereka masih memantau keadaan Imraan.
"Dari awal doktor kata kaki Imraan mungkin akan dipotong, tetapi mereka
cuba sedaya upaya merawat Imraan sebelum keadaan Imraan sampai ke tahap
itu," kata ibunya.
Related:
Walaupun Imraan sudah dibenarkan keluar dari hospital, ibunya meminta
golongan ibu bapa di luar sana berwaspada meskipun serangga kecil
kelihatan seperti tidak berbahaya.
"Kepada golongan ibu bapa, jika nampak kesan gigitan serangga yang tidak
normal pada badan anak atau apa-apa yang sewaktu dengannya, terus dapatkan
rawatan doktor atau terus bawa ke hospital. Jangan jadi seperti saya. Saya
sangka ia kesan gigitan normal, tetapi ia boleh menyebabkan saya
kehilangan anak," katanya.
Sumber: World of Buzz, Juliana Hisyam