Pembantu rumah campur minuman & makanan keluarga majikannya dengan air kencing, air liur & darah haidnya
Seorang pembantu rumah Indonesia yang bekerja dengan majikannya di
Punggol, Singapura dihadapkan ke mahkamah kerana didakwa sengaja mencampur
minuman dan makanan keluarga majikannya dengan air kencing, air liur dan
darah haidnya.
Tertuduh bernama Diana, percaya bahawa dengan melakukan perbuatan itu,
keluarga majikan akan akur dengan apa sahaja yang dia lakukan dan tidak
akan memarahinya.
Mahkamah semalam menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan tambahan
tempoh tujuh minggu terhadap tertuduh berusia 30 tahun itu selepas dia
mengaku melakukan onar dan mencuri.
Timbalan Pendakwa Raya Angela Ang berkata, Diana diambil bekerja dengan
majikan berkenaan sejak 2017. Diana melakukan perbuatan khianat itu di
rumah majikannya pada Ogos 2019 di mana dia mencampur air kencing, air
liur dan darah haidnya ke dalam nasi dan air minuman.
Selain itu, Diana turut mencuri wang sebanyak $13,000 (RM39,191) dalam
lima tempoh berasingan antara Ogos 2017 hingga Jun 2018.
Diana mengambil wang milik majikannya dalam peti besi dan diserahkan
kepada seorang wanita yang merupakan rakan senegaranya untuk dihantar ke
kampung.
Bagaimanapun, wang yang dicuri itu gagal didapatkan semula.
Sumber: The Star