'Saya nak dapatkan udara segar je' - Penumpang buka pintu kecemasan sebelum pesawat berlepas
Seorang penumpang yang sedang menunggu pesawatnya berlepas dari lapangan
terbang bandar Sichuan Mianyang, China, terasa panas lalu mengambil
keputusan untuk membuka tingkap untuk mendapatkan udara segar, lapor
Shanghaiist.
Malangnya, lelaki itu menarik tuil pembuka pintu kecemasan menyebabkan
keseluruhan pintu itu tertanggal dan gelongsor kecemasan juga terbuka
secara automatik.
Kejadian itu berlaku pada malam Sabtu lalu di mana penumpang bernama
Chen, berusia 25 tahun terus ditahan oleh pihak berkuasa lapangan terbang
berkenaan.
Dalam keterangannya kepada polis, Chen berkata dia tidak mengetahui tuil
itu merupakan sebahagian daripada pintu kecemasan.
Katanya, dia hanya mahu membuka tingkap untuk mendapatkan udara segar
kerana keadaan di dalam pesawat agak panas.
Ekoran kejadian itu, Chen ditahan selama 15 hari dan bakal dikenakan
saman di atas tindakan 'cerdiknya' itu.
Difahamkan, syarikat penerbangan yang tidak didedahkan namanya itu
mengalami kerugian 70,000 yuan (RM43,230.44) disebabkan tindakan penumpang
terbabit.
Nama Chen juga akan dimasukkan dalam senarai hitam dari menggunakan
pengangkutan udara bagi mengelakkan kejadian yang sama
berulang.