'Tak menyesal sebab saya sakit hati' - Suami bunuh lelaki yang hamilkan isterinya 5 bulan
Penemuan mayat seorang lelaki berhampiran Tol Kebomas, Gresik, Jawa
Timur, Indonesia membawa kepada penangkapan suspek.
Ketua Polis Gresik, Kusworo Wibowo berkata, suspek berjaya ditahan
selepas pihaknya melakukan siasatan selama tiga bulan.
Kronologinya, mayat mangsa, Muhammad Mulla atau Mad Mola ditemui dalam
keadaan tertiarap bersama dengan bungkusan berisi batu akik dan kertas
mantera.
Bermula dari itu, polis membuka kertas siasatan dan giat menjejak suspek
pembunuhan itu.
Dalam tempoh tiga bulan, polis menahan beberapa suspek yang terbabit
dalam kes itu dan 9 April 2020, suspek utama telah berjaya
ditahan.
Siasatan awal mendapati, suspek utama berasal dari Madura dan bekerja di
Malaysia. Suspek mengakui melakukan pembunuhan itu kerana bengang dengan
mangsa yang menghamilkan isterinya.
"Motifnya sakit hati, di mana mangsa mempunyai hubungan dengan isteri
suspek. Dari hubungan haram itu, isteri suspek disahkan hamil lima bulan,"
katanya.
Pembunuhan itu berlaku ketika suspek pulang ke rumahnya dan terkejut
apabila mengetahui isterinya hamil lima bulan.
Setelah puas dipujuk, si isteri mengakui bahawa janin yang dikandungnya
itu adalah hasil dari hubungan curang bersama mangsa.
Dari situ, suspek mula mengumpul rakan-rakannya untuk mencari mangsa.
Tetapi mangsa telah melarikan diri ke Gresik telah mendapat tahu suspek
sudah pulang dari Malaysia.
Rakan-rakan suspek kemudian menjemput mangsa di Gresik. Mangsa dipujuk
memasuki kenderaan, sementara lima lagi suspek lain menunggu dalam
kereta.
Kesemua suspek kini akan dikenakan tindakan undang-undang dan berdepan
dengan hukuman penjara seumur hidup kerana melakukan pembunuhan
terancang.
Sementara itu, suspek utama mengakui dia tidak menyesal sedikit pun
dengan apa yang telah berlaku.
"Tidak menyesal, karena saya sakit hati," katanya.
Sumber: Sosok