Suami pukul isteri sampai mati kerana bengang anak perempuannya berseluar pendek
Seorang lelaki di Banjarasin Timur, Indonesia tergamak menganiaya
isterinya sampai meninggal dunia.
Dalam kejadian yang berlaku pada malam Sabtu 7 Mac 2020 lalu, suspek
pulang ke rumah dalam keadaan mabuk dan ketika itu dia mendapati anak
perempuannya memakai seluar pendek yang terlalu singkat.
Bengang dengan itu, suspek mengejutkan isterinya (46) yang sedang tidur
untuk bangun menegur anak mereka.
Mangsa bangun tetapi anak perempuannya meminta dia tidak mengendahkan
bapanya yang sedang mabuk.
Emosi mendengar kata-kata itu, suspek terus menyerang isterinya. Suspek
mengambil bekas berisi air lalu disiram pada tubuh isterinya yang masih
berada di tempat tidur. Tidak cukup dengan itu, suspek melempar bekas itu
lalu terkena pada kepala mangsa.
Selepas itu, suspek mengambil raket dan bingkai gambar untuk memukul
isterinya sehingga terkulai sambil sujud memegang dadanya.
Mangsa sempat memberitahu suaminya yang dadanya sakit, tetapi tidak
dipeduli dan suspek terus keluar dari rumah.
Jiran-jiran yang terdengar kekecohan itu terus datang dan menemui mangsa
dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa segera dikejarkan ke hospital dan setibanya di hospital, doktor
mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Susulan itu, jiran mangsa terus membuat laporan polis dan bertindak di
atas laporan itu, suspek telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Sumber: Warta Kota