'Tergamak dia cuba bunuh kami' - Anak cuba racun ibu & bapa tirinya selepas dihalang bermain game
Seorang lelaki berusia 29 tahun di Si Sa Ket, Thailand, berang apabila
dipaksa berhenti bermain permainan video di rumahnya, cuba meracuni
seluruh keluarganya dengan mencampurkan bekalan air mereka dengan racun
serangga.
Perkara itu didedahkan oleh ibunya, Suban Duanjan, 51, namun tiada
sesiapa yang cedera dalam kejadian itu. Tetapi insiden itu membuatkan
Suban berasa bimbang dan tertekan.
Suspek, Sak Duanjan, sebelum itu pulang ke rumah dalam keadaan mabuk
dan mula bermain game di telefon bimbitnya dengan volume yang nyaring
ketika ibu bapanya sedang tidur.
Bapa tirinya, Chakri Khamruang, 52, kemudian terbangun dan mematikan
modem internet kerana mahu menghalang Sak dari mengganggu tidur malam
mereka.
Malangnya, Sak berang lalu memaki hamun bapa tirinya itu sebelum
menghentak dinding rumah.
Chakri berkata, dia tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa memukul
Sak bagi menenangkannya dari terus bertindak agresif.
Keadaan kembali tenang apabila Sak masuk ke biliknya untuk
tidur.
Tetapi pada keesokan pagi, Suban ternampak kesan racun serangga yang
timbul di permukaan air di dalam tempayan, ketika dia mahu mengambil air
untuk memasak nasi.
Suban terkejut dan tidak menyangka anak lelakinya itu tergamak cuba
membunuh dia dan suaminya.
"Saya nampak dia turun ke bawah dan meletakkan sesuatu dalam balang
kira-kira jam 2 pagi. Saya tanya apa yang dia buat, tetapi tidak dijawab
dan kembali semula ke biliknya.
"Saya biarkan saja dan masuk semula ke bilik. Saya masih tidak percaya
yang dia sanggup melakukan perkara ini," katanya.
"Saya tahu dia mudah panas baran. Kami dah cuba menasihatkannya agar
kurangkan baran dalam dirinya tetapi kali ini dia dah melampau," katanya
lagi.
Ekoran kejadian itu, pasangan berkenaan terpaksa menghubungi pihak
berkuasa tempatan untuk membantu.
Sak mengakui telah meletak racun serangga dalam tempayan itu kerana dia
bengang dihalang dari bermain permainan video di telefon
bimbitnya.
"Kami mahu pihak berkuasa membawa dia untuk menjalani rawatan di
hospital kerana kami tidak mahu hidup dalam ketakutan dan bimbang dia
akan menyerang kami lagi.
"Dia terlalu banyak bermain game dan saya rasa itu yang membuatkan dia
tertekan. Susah nak bentuk dia sekarang memandangkan dia sudah dewasa.
Sebab itu kami meminta bantuan," kata Suban.