(Video) Lelaki dipenjara seminggu kerana tendang perut budak autism
Seorang lelaki warga Singapura yang menendang dan memukul kanak-kanak
autism berusia lima tahun pada tahun lalu di sebuah pusat permainan
kanak-kanak di Yishun telah dijatuhkan hukuman penjara selama
seminggu.
Channel News Asia melaporkan, lelaki berusia 28 tahun itu, Soo Wen Jie, dijatuhkan
hukuman tersebut pada Selasa lalu.
Dalam kejadian itu, Soo berada di pusat permainan itu bersama dengan
isteri dan dua orang anaknya berusia 10 bulan dan 20 bulan mendakwa mangsa
berkelakuan agresif.
Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Soo berang apabila
kanak-kanak itu mahu mengambil penyedok biru dari tangannya.
Apabila Soo enggan memberi, kanak-kanak itu memukulnya membuatkan Soo
berang lalu menendang perutnya.
Soo sekali lagi bertindak kasar apabila kanak-kanak itu memeluk Soo
sebagai tanda meminta maaf.
Di mahkamah, Soo cuba menjelaskan bahawa dia bertindak demikian kerana
mahu mempertahankan diri.
Peguamnya merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan sama ada penjara
sehari atau denda kerana tiada kecederaan yang berlaku dalam kejadian
itu.
Namun pendakwaraya tidak bersetuju kerana Soo boleh meminta bantuan pihak
pengurusan atau mencari ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan.
Sumber: Channel News Asia, World of Buzz