“Kami Tak Boleh Terima Apa Yang Setan Itu Dah Buat Kat Anak Saya..”, Bayi 9 Bulan Maut Diliwat & Dibunuh Suami Pengasuh
27 April 2021, seorang bayi lelaki berusia 9 bulan dilaporkan meninggal
dunia selepas diliwat oleh suami pengasuhnya sehingga mengalami koyakan dan
pendarahan di bahagian dubur.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
berkata, kejadian itu berlaku di sebuah unit blok Projek Perumahan Rakyat
(PPR) Lembah Subang 1, Taman Putra Damai.
Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat sesak nafas setelah mulutnya
ditekup oleh suspek, Mohamed Badruldin Mohamed, menggunakan tangan dan
ketika kejadian, suspek dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Semasa kejadian itu berlaku, isteri suspek sedang mengemas ruang tamu dan
membiarkan Mohamed Badruldin berada di dalam bilik bersama bayi berkenaan
selama dua jam dengan pintu dikunci, sebelum menemui bayi itu dalam keadaan
tidak sedarkan diri. Mohamed Badruldin kemudian membawa mangsa ke hospital
dan mengaku sebagai pengasuh bayi berkenaan.
Pemeriksaan mendapati ada beberapa kesan koyakan pada dubur mangsa yang
dipercayai dimasukkan benda tumpul, selain kesan lebam di mulut dipercayai
ditekup menggunakan tangan.
Pihak hospital kemudian membuat laporan polis dan bertindak di atas laporan
itu, polis telah menahan Mohamed Badruldin dan isterinya. Pasangan yang
masing-masing berusia 36 tahun itu disahkan positif dadah jenis syabu.
Suspek lelaki disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh
dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan, manakala isterinya pula akan dijadikan
sebagai saksi pendakwaan dan dituduh di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah
Berbahaya 1952.
Ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya, tertuduh, Mohamed
Badruldin Mohamed, 36, mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan meliwat
mangsa dan hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan membunuh.
Bagi pertuduhan pertama, Mohamed Badruldin didakwa membunuh bayi berkenaan
antara jam 8 pagi dan 3.30 petang, 27 April 2021. Bagi pertuduhan kedua, dia
dituduh meliwat mangsa di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Jika sabit kesalahan bagi pertuduhan pertama, tertuduh boleh dihukum mati
mandatori, manakala pertuduhan kedua memperuntukkan hukuman penjara minimum
lima tahun dan maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan.
Tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan mahkamah menetapkan 15 Jun untuk
sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Alison Chan May Kam,
manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, ibu mangsa, Biey Adawiah meluahkan rasa terkilan dengan
kejadian yang menimpa anaknya, Afiq dan menuntut pembunuh anaknya dijatuhkan
hukuman mati.
"Entah macam mana nak mula, entah bagaimana mahu cerita. Sungguh terkilan
dengan apa yang terjadi. Kita tunggu polis siasat lagi, nyawa dibalas dengan
nyawa.
"Hati ibu mana yang boleh terima, kan? Hantar anak ke rumah pengasuh dalam
keadaan yang sihat, balik tengok anak dah kaku. Rindu yang tiada
penghujung.
"Saya nak (menuntut) keadilan untuk anak syurga saya. Seluruh ahli keluarga
kami tidak boleh terima apa yang setan itu dah buat kat anak saya.
"Anak syurga ibu. Ini gambar tiga hari sebelum adik pergi. Manis leting
adik senyum. Adik baru pandai lambai tangan, rupanya lambaian terakhir untuk
kami. Hari ini hari lahir ibu sayang. Kita dah rancang nak sambut
bersama-sama. Tetapi adik pergi dulu. Tak apa adik, ibu dah redha. Kita
tunggu pengadilan untuk adik," tulisnya.
Sumber: Bernama, Berita Harian, Facebook Biew Adawiah
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu dan memikirkan implikasinya sebelum menulis komen anda disini mahupun di media sosial yang berkaitan dengan artikel ini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini mahupun dimedia sosial. Ditegaskan, Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.