"Jam 5.30 Petang Dapat Aduan Dan Bukti Bergambar, Jam 8.00 Malam Terus Kompaun..", Keluarga Adakan Majlis Kahwin Dikompaun RM4,000
JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga yang mengadakan majlis kenduri
kahwin di Iskandar Puteri, dekat sini pada Jumaat lalu antara yang dikompaun
kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP) yang ditetapkan.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata,
pihaknya menerima aduan daripada orang awam berkenaan majlis tersebut yang
dipercayai diadakan kira-kira pukul 5.30 petang.
“Susulan laporan yang diterima pada pukul 8 malam, polis
membuat pemeriksaan ke lokasi majlis diadakan namun mendapati kenduri kahwin
itu sudah selesai dan tetamu sudah bersurai.
“Berdasarkan bukti bergambar yang diberikan oleh pengadu
tersebut, polis mengeluarkan kompaun sebanyak RM4,000 kepada tuan rumah majlis
berkenaan yang jelas melanggar SOP,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat
Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, majlis kenduri kahwin itu merupakan salah
satu daripada 20 aktiviti sosial yang dikenakan kompaun oleh Polis Johor kerana
kesalahan melanggar SOP Aidilfitri.
Kata beliau, keseluruhan 20 kompaun yang dikeluarkan
pihaknya pada Jumaat dan Sabtu lalu itu membabitkan nilai RM42,000.
“Mengikut pecahan, sebanyak 14 kompaun dikeluarkan di daerah
Batu Pahat bagi kesalahan aktiviti ziarah raya, empat kompaun di Kluang dan
satu di Johor Bahru Utara (JBU) turut membabitkan kesalahan yang sama.
“Nilai semua kompaun itu adalah sebanyak RM42,000, namun
sama ada ia dikurangkan atau tidak, bergantung kepada Kementerian Kesihatan,”
katanya.
Pada masa sama, Ayob Khan meminta masyarakat supaya terus
mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.
“Siapa ingkar, kita akan ambil tindakan. Nak nasihat, kita
dah bagi nasihat dah. Jadi, saya seru semua masyarakat khususnya di Johor,
supaya patuhi SOP,” katanya. – UTUSAN
PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu dan memikirkan implikasinya sebelum menulis komen anda disini mahupun di media sosial yang berkaitan dengan artikel ini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini mahupun dimedia sosial. Ditegaskan, Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.