[Video] ’Doakan Kasih Dalisya..’Kanak-Kanak 5 Tahun Parah DiIanggar Ketika Melintas Jalan Depan Rumah
KLANG: Seorang kanak-kanak perempuan parah apabila dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kampung Delek Kanan, di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata dalam kemalangan jam 5.45 petang itu, Nur Kasih Dalisya Kamarul Azwan, 5, dilanggar SUV jenis Perodua Kembara yang dipandu seorang wanita berumur 21 tahun dari arah Kampung Delek ke Sungai Udang.
"Ketika kejadian, wanita terbabit dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke rumah di kampung sama.
"Mangsa dikatakan pada mulanya berada di tepi jalan tetapi tiba-tiba melintas secara melulu.
"Keadaan itu menyebabkan pemandu terbabit dipercayai tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa kerana jarak terlalu dekat, walaupun telah cuba menekan brek kecemasan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Susulan itu, Shamsul Amar berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut.
"Mangsa yang beralamat di Sungai Udang, didapati mengalami pendarahan pada limpa serta kecederaan usus. Kanak-kanak itu sudah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan pakar," katanya.
Shamsul Amar turut mengesahkan pemandu wanita yang bekerja sebagai kerani itu sudah membuat laporan polis berhubung nahas berkenaan.
"Pemandu terbabit sudah membuat laporan polis. Hasil siasatan mendapati akibat kemalangan itu, bumper depan bahagian kanan, lampu besar kanan dan fender depan kanan kenderaan dipandunya kemek.
"Siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Terdahulu, tular satu rakaman video dalam media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak dilanggar sebuah kenderaan.
Sumber : Berita Harian