Berhenti Sekolah Untuk Jaga Adiknya Menderita Kanser Otak. Sedih Membacanya
kisah cinta yang dikongsi oleh Wan Shahriz
Hari ini saya ingin bercerita tentang sebuah kisah cinta.
Hari ini saya ingin bercerita tentang sebuah kisah cinta.
Dan seperti kisah-kisah cinta lainnya, yang menjadikan ianya agung ialah
kerana adanya pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan,
dilakukan atas dasar kasih sayang sejati, penuh tulus dan tiada
pretensi.
Ini kisah Nazrul dan Natasya. Kisah perjalanan kasih sayang melewati masa
dan ujian Tuhan.
Natasya, ialah seorang anak yg periang, aktif dan bijak. Setelah memasuki
Darjah Satu dan teruja dengan perkara-perkara baru yang dipelajarinya di
sekolah, Natasya akan balik dan bercerita pada datuk dan neneknya tentang
harinya di sekolah. Datuk dan nenek, yang membelanya penuh kasih sayang
sejak kecil, akan mendengar dan melayan keterujaan cucu kesayangan yang
sedang meneroka hidup dan alam.
Nazrul akan turut mendengar ketika mulut adiknya itu becok bercerita.
Mereka berdua dan seorang lagi adik mereka tinggal bersama datuk dan nenek
di sebelah bapanya apabila ibubapa mereka berpisah.
Dan kemudian ujian melanda.
Natasya didiagnos dengan kanser otak di usia 7 tahun. Setelah tiga
pembedahan dilakukan membuang tumor di otaknya, Natasya berhenti meneroka
hidup dan alam.
Dia tidak lagi memahami apa yg sedang berlaku di sekelilingnya. Tidak lagi
mampu bergerak dan bercakap. Malah penglihatannya juga menjadi kabur.
Maka terbaringlah dia dalam dunianya sendiri. Nenek dan Datuklah yang terus
menjaganya.
Dan abangnya Nazrul yang cuma setahun lebih tua.
Nazrul akan berbaring di sebelah Natasya, mengagah-agah adiknya sampai
Natasya terkekek-kekek ketawa, berbual-bual dengannya dan terus
menyayanginya tanpa syarat dan batasan.
Setiap bulan akan ada bekalan ubat yang sampai ke rumah. Dihantar dari
farmasi HKL. Pelbagai ubatan untuk membantu Natasya meneruskan hidup. Bukan
lagi menyembuhkan.
Antara yang wajib diambil saban hari ialah ubat sawan. Natasya kerap
mengalami sawan. Doktor memang sudah berpesan tentang sawan yang boleh
meragut nyawanya.
Dan Natasya juga masih perlu dibawa ke HKL untuk pemeriksaan dan rawatan.
Di bawah wad neuro. Cuma kerana di.KK3, ada katil tambahan disediakan untuk
penjaga pesakit, maka Nenek memohon utk menumpang di wad KK3. Ada katil
tambahan untuk dia dan Nazrul berkongsi tidur.
Setiapkali ke hospital, Nazrul akan bersama menjaga Natasya di wad bersama
nenek. Nenek sudah beransur tua dan kian lemah. Natasya membesar dan semakin
berat untuk mampu diuruskan Nenek.
Dan Nazrul lah yang akan membantu. Anak muda yang cergas dan kuat, walau
fizikalnya nampak kurus.
Rutin ini berterusan sepanjang 8 tahun.
“Nazrul lah yg tolong mandikan adik. Bila Tasya dah besar ni, makcik dah
tak larat nak angkat dan mandikan. Hanya balik-balikkan badan dia dan lap.
Nazrul lah yg akan angkat adik ke bilik air dan mandikan. Suka sangat Tasya
kalau abang dia balik.”
Rutin rawatan di hospital yg berterusan dan kerap, memaksa Nazrul utk
mengorbankan sekolah untuk menjaga adik. Akhirnya, semasa di Tingkatan 2,
Nazrul berhenti sekolah secara rasmi. Mungkin sudah tidak sanggup mendengar
guru2 bertanya bila dia kerap dan lama tidak hadir.
Ibu-ibu pesakit lain dan nurse-nurse di KK3 kenal Nazrul. Seorang abang
yang menjaga adiknya bersama Nenek yang tua di wad. Semua urusan Natasya
boleh dilakukannya. Memberi ubat, menukar pampers, memandikan, menyuapkan
makanan, meneman dan menghiburkan.
Tanggungjawab yang besar untuk seorang anak yang masih di awal usia
belasan.
Tapi apabila kasih sayang hadir bersama tanggung jawab, tiada yang besar
dan membebankan. Nazrul akan melakukan segalanya untuk Natasya tanpa
bersungut.
Kisah cinta yang bertahan selama 8 tahun.
Natasya meninggal Februari 2016 apabila mengalami sawan, di usia 15 tahun.
Seorang ibu di wad KK3 bercerita di saat Nazrul berlari menyorong adiknya
dgn wajah cemas masuk ke wad, masih berharap yang sesuatu masih boleh
dilakukan.
Terkedu Nazrul bila Natasya disahkan sudah meninggal dunia.
“Demam si Nazrul ni lepas adik meninggal. Dia lah yang rapat dgn adik.
Kalau dia ada, dia tak bagi orang lain uruskan adik. Semua dia buat.”
Nazrul yg turut berada bersama kami ketika Nenek bercerita, hanya diam dan
sesekali tersenyum apabila namanya disebut. Saya melihat dia menatap gambar
Natasya di handphonenya. Gambar terakhir, sehari sebelum kepulangan Arwah ke
rahmatullah.
“Nazrul sekolah balik ye.. adik pun dah takde. Nazrul kena belajar semula.
Kena pikirkan masa depan.” Saya memujuknya. Dia hanya senyum sambil kakinya
menguis-nguis lantai.
“Tu lah, makcik cakap macam tu lah. Tapi nampak dia macam dah takde hati
nak ke sekolah. Dah dua tahun lebih dah tak sekolah. Duduk rumah tolong
makcik macam ni lah. Petang nanti gi ambik adik dia yg Tingkatan 2 dari
sekolah. Kalau takpun, dia ikut ayah dia.. bantu ayah buat kerja kontrak.
Nazrul ni nampak je kurus, tapi kuat dia ni.. angkat2 besi tu dah
biasa.”
Nenek sedang mengalami sakit belikat. Mungkin kerana usia atau kerana
bertahun-tahun menjaga cucu yang hanya mampu berbaring dan sesekali
duduk.
Tak mampu Nenek berdiri lama.
Semasa saya sampai ke rumah mereka di Selayang, kedengaran Nazrul sedang
membasuh pinggan di dapur, dan tak lama membawa air minuman keluar untuk
saya. Sangat santun anak muda ini. Datang menyalami dan mencium tangan saya,
seseorang yang tidak pernah dikenalinya.
Ketika saya hendak pulang, Nazrul dan Datuk menghantar saya hingga ke
kereta. Sebelum beredar meninggalkan rumah mereka, saya berpesan sekali
lagi,
“Nazrul sekolah balik ye.”
Dan dari cermin sisi, saya melihat susuk tubuh Nazrul yang berdiri
memandang kereta saya yg perlahan beransur pergi.
Saya melihat seorang anak, cucu dan abang yang begitu baik.
Saya melihat sebuah kisah tanggung jawab dan pengorbanan. Dan di sepanjang
perjalanan saya, saya terus melihat sebuah cerita kehidupan yang diuji
kesukaran, tetapi diindahkan dengan kasih sayang.
Seorang lagi anak yang dalam hati saya telah saya lantik sebagai guru,
mengajar saya di sekolah kehidupan.