Jepun Baikpulih 'Lubang Gergasi' Dalam Masa 48 Jam Sahaja
|
JEPUN - Persimpangan lampu isyarat di selatan bandar Fukuoka yang runtuh
pada 8 November lalu kesan dari projek pembinaan kereta api bawah tanah,
kini telah kembali dibuka hari ini untuk kegunaan orang ramai.
Hasil usaha dan tindakan pantas para pekerja yang terlibat dipuji netizen
kerana berjaya membaikpulih persimpangan itu dalam masa seminggu
sahaja.
|
Para pekerja yang terlibat bekerja bersungguh-sungguh tanpa henti selama
seminggu, memasukkan sejumlah besar simen basah dan pasir ke dalam lubang
gergasi itu, selain beberapa pekerja yang lain pula membaiki paip saliran
air, gas dan menyambung semula sambungan kabel-kabel elektrik yang
terjejas dalam kejadian itu.
Lapor The Guardian, pihak berkuasa tempatan sebenarnya hanya mengambil
masa 48 jam untuk memulihkan kembali persimpangan itu.Bagaimanapun di atas
faktor keselamatan, pihak terpaksa menangguhkan keputusan untuk membuka
jalan itu kembali kerana struktur di bawah jalan tersebut masih belum
kering 100%.
Jalan berkenaan dibuka semula pada jam 5 pagi hari ini selepas keadaan
jalan itu sudah benar-benar disahkan selamat.
Datuk Bandar Fukuoka, Soichiro Takashima dalam kenyataannya memohon maaf
di atas kesulitan yang berlaku.
"Kami memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku. Semua larangan akses
pada bangunan berhampiran kawasan kejadian telah pun ditarik balik,"
katanya.
Netizen di media sosial melahirkan rasa kagum dengan tindakan pantas dari
pihak berkuasa yang membaikpulih jalan yang rosak itu.
"Saya terkejut, jalan dibuka semula selepas seminggu. Ini sangat
mengagumkan, pantas!" kata seorang pengguna di laman Twitter.