Taska biarkan anak asuhan makan najis sendiri
SINGAPURA - Sebuah taska di Singapura didakwa mengabaikan anak-anak
asuhan mereka dan gambar-gambar pendedahan wajah sebenar taska itu
viral di media sosial, lapor Stomp.
Gambar-gambar yang viral itu turut menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki
memegang najisnya sendiri sebelum memasukkan jari ke mulut. Selain itu,
kanak-kanak juga disuruh tidur di atas lantai tanpa sebarang alas, mahupun
bantal.
Pengadu, Singapore Tong juga mendakwa kakitangan taska Sam's Early
Learning Centre di Jalan Singapura telah membuang susu tepung yang
dibekalkan oleh ibu bapa untuk diberikan kepada anak-anak. Malah pihak
taska tergamak memberi penghuni kecilnya itu makan buah-buahan yang hampir
rosak.
|
|
Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan oleh pihak
polis dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA).
"ECDA ambil maklum dengan pendedahan yang viral di media sosial dan
sedang menjalankan siasatan. Keselamatan dan kesihatan kanak-kanak di
pusat penjagaan kanak-kanak adalah keutamana ECDA.
"Di bawah Akta Pusat Penjagaan Kanak-Kanak, semua pusat-pusat penjagaan
kanak-kanak dikehendaki menepati piawaian yang telah ditetapkan untuk
melindungi keselamatan dan kebajikan kanak-kanak," kata jurucakap
ECDA.
Sementara itu, netizen di Singapura bagaikan tidak percaya perkara
seperti itu boleh berlaku di negara mereka. Netizen juga mendesak pihak
berkuasa mengambil tindakan terhadap pemilik taska berkenaan.