'Antara hidup dan mati' - Status terakhir remaja sebelum meninggal akibat dipatuk ular belaannya sendiri
Baru-baru ini, viral gambar seorang remaja lelaki di media sosial yang
dilaporkan telah meninggal dunia akibat dipatuk ular berbisa.
Dalam laporan Harian Metro, kejadian itu berlaku di Bokongsoan,
Indonesia, di mana remaja yang dikenali sebagai Syahril itu membela ular
tedung selar sebagai haiwan kesayangan sejak beberapa bulan lalu sebagai
hobi.
Malangnya hobi remaja itu membawa padah apabila Syahril telah dipatuk
reptilia itu dan meninggal dunia pada Rabu lalu selepas dirawat di
hospital.
Gambar-gambar mangsa dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook yang
menggunakan nama Nindi Sari yang memaklumkan Syahril meninggal dunia
selepas tangannya dipatuk ular berbisa itu.
"Hati-hati, sekiranya tiada pengalaman jangan sesekali membela ular
tedung selar,” katanya yang turut memuat naik gambar Syahril memegang dan
mencium kepala ular tedung selar yang besar.
Sebelum meninggal dunia, Syahril juga sempat memuat naik gambar tangannya
dipatuk ular berkenaan di status aplikasi WhatsApp dengan kapsyen, 'Antara
hidup dan mati'.
Difahamkan, doktor gagal menyelamatkan Syahril dan remaja itu dilaporkan
meninggal dunia ketika dirawat di hospital.