Kep4la bayi terputus ketika dilahirkan, pasangan saman hospital
Ibu mangsa, Reina Natalia Valazquesz, 30, yang hamil 22 minggu terpaksa
bersalin awal pada 18 Disember lalu ketika dia sedang meluangkan masa
cutinya bersama keluarga di Salvador Mazza, Argentina.
Reina dibawa ambulans ke Hospital Juan Domingo Peron di Tartagal setelah
pasukan perubatan memutuskan wanita itu boleh bersalin secara
normal.
Di dewan bersalin, kakitangan hospital cuba menyambut kelahiran bayi
pasangan itu dengan badan bayi itu keluar terlebih dahulu. Malangnya,
kepala bayi itu tersangkut di serviks.
Doktor didakwa secara tidak sengaja telah menarik badan bayi itu
menyebabkan kepalanya terputus.
Ketika kejadian, suami Reina keluar memberi beberapa barangan bayi dan
apabila kembali dia ternampak salah seorang kakitangan hospital berkenaan
memegang badan bayinya tanpa kepala.
Kepala mangsa yang masih berada di dalam rahim wanita itu kemudian
dikeluarkan secara semulajadi bersama plasenta.
Reina berkata, semasa proses kelahiran itu dia tidak tahu sama ada doktor
atau bidan yang menarik keluar bayi mereka sehingga menyebabkan kepala
anak mereka terputus.
Sementara itu, pengarah hospital berkenaan, Jose Fernandez berkata,
kakitangan hospital yang bertugas pada waktu itu menolak kelahiran secara
pembedahan kerana bukaan Reina pada waktu itu sudah mencecah 11
sentimeter.
"Bayi itu masih berada dalam breech position, jadi badannya keluar
terlebih dahulu. Apabila tiba di kepala, berlaku tekanan di serviks yang
memampatkan leher bayi berkenaan.
"Pakar obstetrik itu kemudian menghubungi doktor lain untuk cuba
membantu membebaskan kepala bayi itu, namun ada koyakan dan menyebabkan
kepala bayi itu terputus.
Jose berkata, pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa
sepenuhnya. Walau bagaimanapun beberapa kakitangan hospital yang terlibat
dalam kejadian itu akan terus bertugas seperti biasa.