Bayi 17 bulan mati selepas terperangkap 3 jam dalam kereta dengan suhu 43'C
Seorang bayi lelaki berusia 17 bulan di Virginia mati selepas bapanya
terlupa menghantar dia di pusat jagaan kanak-kanak, lapor Daily
Mail.
Riaan Gondesi berada di dalam kereta selama tiga jam sebelum disedari
oleh ibu bapanya bahawa anak mereka tidak berada di pusat jagaan berkenaan
dalam kejadian Rabu lalu.
Perkara itu hanya diketahui oleh ibunya selepas pusat jagaan berkenaan
menelefon dan bertanya mengapa Riaan tidak dihantar kepada
mereka.
Terkejut dengan perkara itu, wanita itu terus menghubungi suaminya yang
kemudian menemui mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan masih
memakai tali pinggang keledar di dalam kereta.
Mangsa kemudian dikejarkan ke hospital, malangnya sudah terlambat dan
Riaan disahkan telah meninggal dunia.
Ketika kejadian itu, cuaca di Virginia mencecah suhu 32 darjah celcius.
Mangsa berada di dalam kereta bapanya sejak dari jam 9.30 pagi hingga
12.30 tengah hari dan suhu di dalam kereta pada waktu itu dijangka 43
darjah celcius.
Menurut Sheriff Goochland, James L. Agnew berkata, wanita itu terus
menghubungi suaminya yang kemudian berlari keluar ke kereta untuk
mendapatkan anaknya.
"Berapa suhu sebenar dalam kereta itu saya tidak pasti, tetapi ianya
sangat panas. Saya tidak tahu bagaimana dan kenapa ia boleh
berlaku.
"Tetapi apa yang saya boleh katakan ialah, orang dewasa sepatutnya peka
dengan kehadiran kanak-kanak yang dibawa bersama," katanya.