'Kerana mulut badan binasa', gadis hilang kelayakan bekerja di NASA
Seorang gadis hilang kelayakan untuk menjalani latihan praktikal di
agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika (NASA)
kerana kebiadaban tweetnya terhadap seorang Ahli Majlis Angkasa Nasional,
Homer Hickam, yang mengawasi NASA.
Naomi, terdahulu memuat naik tweet dengan perkataan yang tidak sepatutnya
dengan tujuan mahu menghebohkan kepada rakan-rakan Twitter yang
permohonannya diluluskan.
Tweet itu mendapat perhatian dari Homer yang kemudian memintanya beradab.
Tetapi Naomi yang tidak mengenali Homer, membalas tweet itu dengan
kata-kata kesat seperti dia sudah bekerja di agensi angkasa yang terulung
di dunia itu.
Bagaimanapun, Homer mendedahkan siapa dirinya dan peranannya yang
terlibat secara langsung dengan NASA.
Tidak beberapa lama kemudian, Naomi dilaporkan hilang kelayakan untuk
meneruskan latihan di agensi itu yang dikatakan berpunca dari tweet biadab
tersebut.
Berikutan dakwaan gadis itu hilang kelayakan tersebut kerana tweet itu,
Homer kemudian mengeluarkan kenyataan penafiannya dan menegaskan dia tidak
mempunyai kuasa untuk mengambil atau memecat sesiapa dalam agensi
itu.
"Saya tidak terkesan dengan penggunaan perkataan 'F' tersebut, namun
apabila saya nampak NASA dan perkataan 'F' itu digunakan, saya rasa anak
muda ini bakal ditimpa masalah sekiranya NASA mengetahuinya. Jadi saya pun
tweet satu perkataan kepadanya, "Language".
"Tetapi tidak lama kemudian saya dimaklumkan tawaran dia telah
ditarik balik. Saya tidak ada kaitan dengan keputusan itu dan saya tiada
kuasa untuk mengambil atau memecat sesiapa dalam agensi ini.
"Bila diselidik, NASA sendiri yang mendapat tahu.
"Dia kemudian menghubungi saya dan meminta maaf dan saya dengan hati
terbuka menerima kemaafannya. Selepas melihat resumenya, saya rasa dia
layak berada di industri angkasa lepas dan saya akan buat apa saja yang
saya mampu untuk membantunya.
"Saya juga telah berbincang dengan pihak yang berkaitan dan memastikan
rekodnya tidak disenaraihitamkan. Mereka beritahu saya, Naomi boleh
memohon semula," katanya
Sementara itu di media sosial, netizen memberi pelbagai reaksi mengenai
isu keceluparan Naomi dan berharap orang ramai mengambil iktibar dan
pengajaran agar tidak sewenang-wenangnya memuat naik tweet biadab terhadap
orang yang tidak dikenali.