(Video) Derita kejang otot muka kerana kerap main gajet lebih 9 jam setiap hari
John Nathan Lising, dikatakan kerap bermain permainan video lebih dari 9
jam setiap hari dan secara tiba-tiba mengalami kekejangan otot di bahagian
muka yang menyebabkan matanya berkedip dan bibirnya bertindak di luar
kawalan tanpa henti sejak 23 Julai lalu.
Bimbang melihat keadaan John, bapanya, Edgar, 41, dan ibunya, Judeem 40,
segera membawa John ke hospital berdekatan. Doktor berkata, pemeriksaan
mendapati otak kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang
masalah.
Walaupun tiada bukti konklusif bahawa keadaan John menjadi seperti itu
kerana ketagihan bermain permainan video, doktor menasihatkan pasangan
berkenaan tidak memberi anak mereka menggunakan telefon pintar atau gajet
buat sementara waktu.
Jelas doktor, gejala yang dialami John itu kelihatan sama seperti Focal
Seizure, yang menjejaskan fungsi sebelah otak. Walau bagaimanapun, mereka
tidak dapat mendiagnosis keadaan sebenar John kerana kekurangan bukti untuk
menentukan puncanya.
Namun, Edgar percaya, anaknya menjadi seperti itu berpunca dari ketagihan
bermain permainan video.
"Anak saya selama ini sihat. Dia tak pernah ada sebarang masalah
kesihatan sebelum ini. Dia menjadi seperti itu sejak 23-24 Julai tanpa
henti. Saya pasti, penggunaan gajet tanpa henti menjadi puncanya,"
katanya.
Seminggu selepas itu, John masih mengalami masalah yang sama setiap 20-30
minit walaupun dia telah berhenti bermain permainan video.
Pasangan itu kemudian membawa anak mereka ke Pusat Perubatan St. Luke
untuk mendapat pandangan kedua dari pihak berkenaan, namun mereka juga
gagal mengenal pasti punca permasalahan John.
"Anak saya betul-betul menderita dan saya tidak tahu apa lagi yang kami
boleh lakukan," kata Judee.
"Sebaik saja dia bangun dari tidur, dia menonton televisyen. Bila balik
dari sekolah jam 3 petang, sehingga ke tengah malam, dia akan bermain
permainan di telefon atau tabletnya.
"Dia cuma bermain permainan kanak-kanak, bukannya permainan yang berunsur
keganasan.
"Doktor kata keadaannya seperti itu mungkin disebabkan terlalu lalu
menghabiskan masa dengan gajet, tetapi tiada bukti yang dapat menyokong
dakwaan itu.
"Namun sebagai ibu, saya pasti inilah (gajet) yang menyebabkan dia jadi
begitu dan kami terpaksa melarangnya dari menggunakan sebarang permainan
elektroniknya lagi," kata Judee.