Bayi 18 bulan maut disengat obor-obor
Keseronokan satu keluarga beriadah di pantai bertukar menjadi tragedi
apabila anak kecil mereka maut disengat obor-obor dalam kejadian dua hari
lalu di Manila, Filipina, lapor The Summit Express.
Menurut ibu saudara mangsa, Rosemae Tomilloso Alegre, mangsa, Prince
Gabriel Mabborang maut selepas disengat obor-obor.
Terdahulu, Grabriel dan keluarganya mandi-manda di Pantai Dalahican di
Bandar Lucena, Quezon, sebelum mangsa disengat obor-obor dari spesis
beracun, yang boleh menyebabkan mangsa yang disengatnya hilang nyawa
terutamanya kanak-kanak.
Gabriel, 1 tahun 6 bulan disengat di bahagian paha, dikejarkan ke
hospital untuk mendapatkan rawatan. Malangnya, doktor mengesahkan Gabriel
telah pun meninggal dunia.
Sedih dan terkilan dengan kejadian yang tidak disangkakan itu, keluarga
mangsa menyalahkan pihak berkuasa yang didakwa tidak meletakkan papan
tanda amaran atau larangan berenang di pantai itu. Lebih mengecewakan lagi
ialah apabila mereka mendapati Gabriel bukan mangsa pertama yang maut
disengat obor-obor di pantai itu.
Rosemae berkata, selepas selesai menguruskan pengebumian Gabriel, mereka
datang semula ke pantai itu untuk memeriksa kawasan tersebut dan hasilnya
mereka berjaya menemui beberapa ekor bangkai obor-obor.
Dengan penemuan itu jelas sekali menunjukkan bahawa pantai itu agak
berbahaya untuk dikunjungi oleh orang awam. Rosemae juga memberi
peringatan kepada netizen dia media sosial untuk tidak melakukan sebarang
aktiviti di pantai tersebut, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini
berlaku lagi.
Bagaimanapun, masih ramai yang tidak mengendahkan amaran tersebut dan
menerukan aktiviti seperti biasa di pantai itu.
Untuk mengelakkan diri dari disengat obor-obor, adalah digalakkan untuk
memakai pakaian renang seperti pakaian renang scuba atau yang seumpama
dengannya.
Obor-obor bersifat lutsinar dan agak sukar dilihat apabila ia berada di
dalam air. Pastikan anda dan anak-anak sentiasa berjaga-jaga. Tidak lupa
juga, bawa sebotol cuka sebagai langkah keselamatan. Jika anda disengat
obor-obor, tuangkan cuka itu di bahagian yang disengat sebelum pergi ke
hospital dengan segera (terutamanya kanak-kanak kecil).