Bayi 2 tahun didera, dikurung dalam tandas selama 3 hari sehingga mati kelaparan
Seorang wanita berusia 22 tahun bernama Lin dan teman lelakinya, Xiao,
didakwa di mahkamah kerana mendera dengan membiarkan anak lelakinya
berusia dua tahun mati selepas dikurung di dalam tandas selama tiga hari
tanpa makanan.
Pada hari kejadian, Lin bekerja di luar kawasan dan anaknya dijaga oleh
Xiao. Bengang dan terganggu dengan mangsa yang terlalu bising, Xiao
mengurung anak kecil itu di dalam tandas.
Tiga hari kemudian, Lin pulang dan mendapati anaknya sudah mati dan
lantai dipenuhi air kencing.
Jam 7 petang 9 November 2019, pihak bomba dan perubatan datang ke tempat
kejadian dan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa dan mempunyai
tanda-tanda trauma.
Mangsa kelihatan kurus dan hanya mempunyai berat 5.7 kilogram. Bedah
siasat mendapati mangsa dipercayai tidak diberi makan hampir
seminggu.
Siasatan mendapati, Lin yang bekerja sebagai pekerja hotel mempunyai
sejarah penyakit mental. Apabila anak lelakinya dilahirkan, Lin dijaga
oleh saudara mara dan rakannya tetapi mereka berhenti berbuat demikian
sejak Ogos 2019. Lin kemudian dipaksa berpindah ke rumah abangnya di
Taipei.
Malangnya, Lin dan abangnya mengambil pendekatan untuk mengurung mangsa
di dalam tandas sekiranya kanak-kanak itu menangis kelaparan atau
kesakitan. Mereka juga tergamak memukul mangsa atas sebab-sebab yang tidak
masuk akal.
Pada September 2019, Lin berkenalan dengan Xiao dan menjalinkan hubungan
sebelum mengajak lelaki itu tinggal bersama dengannya.
Nasib mangsa bertambah teruk, Xiao turut mendera anak kecil itu dan
mencampak sisa-sisa roti jika mangsa meminta makanan. Ketiga-tiga mereka
berterusan mendera mangsa sehingga mereka meninggalkan rumah sewa itu pada
Oktober lalu.
Pendakwaraya mendakwa Lin meninggalkan anaknya untuk jangka masa lama
tanpa menyediakan makanan dan penjagaan. Xiao yang mengetahui kejadian itu
tidak melakukan apa-apa untuk membantu mangsa dan hanya melepak dengan Lin
setiap hari membelanjakan wang untuk makan dan melakukan maksiat.
Pasangan itu kini didakwa di mahkamah atas tuduhan mengabaikan dan
membiarkan mangsa mati di atas kecuaian dan penderaan. Pihak berkuasa juga
sedang memburu abang kepada Lin yang didapati bersubahat dalam kejadian
itu.
Sumber: Sin Chew Daily, World of Buzz